KUALA LUMPUR – Polis berjaya menahan seorang wanita yang dipercayai dapat membantu menyelesaikan kes penipuan sewa rumah atau bilik yang bergiat aktif sejak Januari lalu.
Suspek berumur 42 tahun dan bekerja sebagai akauntan dicekup pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Komersial dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada 17 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfield, Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, kesemua mangsa penipuan bukan sahaja daripada daerah Brickfields, malah ada antaranya berasal daripada daerah berhampiran seperti Cheras, Puchong serta dari Johor dan Perak.
“Mangsa telah melayari salah satu laman sesawang bagi mencari rumah atau bilik untuk disewa sebelum mangsa melihat iklan yang dimuatnaik oleh suspek dan menghubungi suspek untuk melihat sendiri lokasi rumah atau bilik yang ingin disewa tersebut.
“Kemudian, saspek akan membawa mangsa ke lokasi rumah atau bilik yang ingin disewakan. Saspek mengaku rumah itu adalah rumah miliknya sedangkan sebenarnya rumah tersebut disewa oleh suspek.
“Setelah mangsa berpuashati dan bersetuju dengan harga yang ditawarkan, suspek meminta mangsa untuk masukkan wang ke dalam akaun banknya sebagai bayaran deposit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Malah katanya, setelah mangsa membuat pembayaran, mangsa diberi tarikh untuk masuk rumah atau bilik berkenaan tetapi apabila sampai pada masa dan tarikh yang dijanjikan,suspek tidak dapat dihubungi dan menghilangkan diri.
Ujar beliau setakat ini, polis telah menerima sebanyak 11 laporan dan melibatkan kerugian lebih kurang RM25,450.00 akibat ditipu suspek itu.
“Kes yang telah dilaporkan ini telah disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang mana boleh dijatuhkan hukuman minimum penjara satu tahun dan maksimum 10 tahun dan juga boleh dikenakan denda serta sebat jika disabitkan kesalahan.
“Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dengan modus operandi yang digunakan untuk memperdaya mangsa dalam kes ini.
“Kami juga ingin menasihatkan orang ramai supaya membuat laporan polis di balai polis berhampiran sekiranya telah diperdayakan dengan cara penipuan sedemikian dalam pencarian rumah sewa,” katanya. – MalaysiaGazette