Ngeh Koo Ham

KUALA LUMPUR – Biarpun telah diberi kata dua oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia supaya memohon maaf secara terbuka, namun tiga ahli Parlimen DAP masih enggan berbuat demikian.

Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, Pandikar tidak berhak untuk mengugut mereka kerana perkara itu dibangkitkan di luar Dewan Rakyat dan tidak ada kena mengena dengan Dewan Rakyat.

“Tindakan Speaker tidak membenarkan usul dan soalan-soalan berkenaan skandal 1MDB dibentangkan atau ditanya memberi tanggapan bahawa beliau menjadi sekutu untuk menutup skandal rasuah,” katanya ketika sidang media di Parlimen, hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar yang merupakan salah seorang daripada tiga Ahli Parlimen itu selain Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming.

Semuanya bermula apabila ketiga-tiga mereka mendesak Pandikar untuk meletakkan jawatan selepas Speaker itu menolak usul untuk membahaskan soalan berkaitan kapal mewah The Equanimity dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kor Ming dalam pada itu turut mendesak Pandikar supaya menjelaskan mengapa laporan Ketua Audit Negata berhubung isu 1MDB tidak dibentangkan di Parlimen. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast