Home Nasional Kerajaan negeri mohon PPR tapi tak ikut syarat

Kerajaan negeri mohon PPR tapi tak ikut syarat

Halimah Mohd Sadique

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mendedahkan ada kerajaan negeri memohon Projek Perumahan Rakyat (PPR) namun tidak menyediakan tapak yang strategik dan jauh dari jalan utama.

Timbalan Menterinya, Datuk Halimah Mohd Sadique berkata, tindakan kerajaan negeri hanya menyukarkan kementeriannya membangunkan PPR berkenaan dan menyebabkan kos pembinaan meningkat.

“Jangan sampai ada sesetengah kerajaan negeri yang nak projek PPR, tapi bagi tapak PPR dari segi logistiknya tidak strategik dan menambahkan kos pembinaan, terlalu jauh dan tanah tidak sesuai,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau mengulas soalan tambahan Datuk Linda Tsen Thau Lin (Batu Sapi-PBS) yang bertanyakan langkah-langkah yang boleh diambil oleh kerajaan negeri dalam membantu KPKT mempercepatkan pembangunan PPR di negeri-negeri.

Halimah juga meminta kerajaan negeri memberikan kelulusan khas seperti pengecualian caj pembangunan, caj pematuhan bagi memudahkan pembangunan PPR di kawasan masing-masing khususnya di Selangor.

“Kita membuat rundingan dengan kerajaan negeri mengkaji semula dasar perumahan negeri tentang caj-caj perumahan berkenaan untuk mempermudahkan proses kelulusan Kebenaran Merancang tanpa apa-apa syarat tambahan.

“Selalunya kerajaan negeri mengenakan syarat-syarat tambahan bagi membangunkan projek perumahan yang secara tidak langsung sekiranya ini berlaku, ia akan mempengaruhi kos pembinaan rumah PPR yang akan kita bina,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast