Home Nasional RUMAWIP, PPA1M lepasi sasaran 111%

RUMAWIP, PPA1M lepasi sasaran 111%

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (tengah) diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikshan (kanan) dan Pengerusi UEM Sunrise Berhad, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa (kiri) melihat replika RUMAWIP pada Majlis Pelancaran dan Sesi Pengundian Unit RUMAWIP Kondominium Kiara Kasih di Kompleks Sukan Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 20 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Pembinaan RUMAWIP dan PPA1M  kini sudah melebihi sasaran yang ditetapkan sebanyak 88,917 unit berbanding sasaran awal 80,000 unit menjelang tahun 2020

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen serius kerajaan dalam menyediakan rumah mampu milik penghuni bandar.

 

“Kita telah berjaya mencapai sebanyak 88,917 unit atau 111 peratus daripada sasaran keseluruhan 80,000 unit yang ditetapkan,” kata beliau semasa majlis pelancaran projek RUMAWIP Kondominium Kiara Kasih di Kompleks Sukan Bukit Kiara hari ini.

Pencapaian tersebut meliputi projek dibawah kategori “Siap”, “Dalam Pembinaan” dan “Kelulusan Perintah Pembangunan”.

Pembangunan kedua-dua projek itu melibatkan 124 buah projek yang diluluskan di Wilayah Persekutuan dan daripada jumlah tersebut sejumlah 8,824 unit membabitkan 15 projek sudah siap dibina dan sedia diduduki.

Dalam pada itu, Tengku Adnan menggesa orang ramai supaya merebut peluang untuk membeli RUMAWIP memandangkan lokasi strategik dan ia dijual pada harga mampu milik.

“Pada 2018, akan ada banyak lagi projek-projek RUMAWIP di lokasi strategik yang akan dibuka kepada rakyat.

“Oleh itu, saya menyeru semua pihak untuk sama-sama mempromosikan inisiatif RUMAWIP ini supaya golongan sasaran dapat merebut peluang mendapatkan kediaman RUMAWIP,” ujarnya lagi.

Projek RUMAWIP Kondominium Kiara Kasih Projek merupakan usahasama antara Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Syarikat UEM Sunrise Berhad.

Kondominium yang dibina di atas tanah seluas 2.14 ekar itu setinggi 39 tingkat dan menawarkan 719 unit rumah.

Setiap unit kediaman dibina pada keluasan 850 kaki persegi dan dilengkapi tiga bilik tidur dan tempat letak kenderaan.

Kondominium Kiara Kasih ini ditawarkan pada harga RM300,000 atau RM353 sekaki persegi berbanding hartanah lain di kawasan tersebut yang mencecah hingga RM3,530 sekaki persegi.

Projek kediaman  dijangka siap pada 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast