Home Nasional Tiada layanan rasmi kepada delegasi Israel

Tiada layanan rasmi kepada delegasi Israel

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kehadiran delegasi Israel ke Forum Perbandaran Sedunia (WUF) ke-9 di sini pada 7 hingga 13 Februari lalu tidak disambut oleh pegawai-pegawai Kementerian Luar Negeri.

Malah, delegasi itu juga tidak diberikan kawalan keselamatan oleh polis.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kehadiran delegasi itu tidak bermaksud kerajaan cuba menjalinkan hubungan dengan Israel kerana kehadiran atas jemputan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kedatangan delegasi Israel berdasarkan jemputan PBB, bukan Kerajaan Malaysia, tidak timbul isu Malaysia jalin hubungan dengan Israel secara senyap.

“Status Malaysia dan Israel tidak akan berubah. Sehubungan itu, kehadiran peserta Israel tidak wajar dilihat sebagai usaha Malaysia mahu menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, di Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau mengulas pertanyaan lisan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) yang mempersoalkan pendirian PBB yang mengecam Israel membuka penempatan haram di Palestin tetapi bertindak menjemput delegasi Israel untuk menghadiri WUF9 pada bulan lalu.

Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas juga berkata, kehadiran delegasi Israel ke program PBB tidak boleh dihalang sekiranya ia dianjurkan di luar ibu pejabat badan itu.

“Bila ada program-program PBB di luar negara maka ia perlu dibuka kepada semua keanggotaan PBB termasuk Israel,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast