KUALA LUMPUR – Sekumpulan ahli UMNO Titiwangsa dan badan bukan kerajaan (NGO) setempat hari ini membuat laporan polis berhubung poster dan banting berunsur sabotaj terhadap Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Johari Abdul Ghani.
Poster dan banting itu dipasang disekitar kawasan parlimen tersebut.

Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi menggesa siasatan dijalankan dan mencari individu yang menjadi dalang memasang poster tersebut yang dilihat bertujuan mencemar imej Menteri Kewangan II itu.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Affendi Zahari yang mewakili kumpulan tersebut berkata, mereka menolak tindakan sabotaj yang cuba merosakkan imej Johari memandangkan pilihan raya umum semakin dekat.
“Kami baharu sahaja membuat laporan polis berhubung perihal poster dan banting yang dinaikkan di sekitar Setiawangsa yang mempunyai kata-kata hasutan dan fitnah terhadap Ketua Bahagian kami merangkap Ahli Parlimen Setiawangsa.
“Kami yakin ia dilakukan dengan berniat jahat untuk menjatuhkan nama baik dan imej Yang Berhormat,” kata beliau semasa sidang media selepas membuat laporan polis hari ini.
Affendi juga menggesa supaya siasatan dilakukan dan individu yang bertanggungjawab memasang poster dan banting itu dibawa ke muka pengadilan.
Terdahulu, tular poster dan kain rentang ‘Saya No!! To DJ’ dan ‘kami ahli UMNO akar umbi Titiwangsa memohon kepada YAB Perdana Menteri agar memilih calon lain selain daripada Datuk Johari #TolakJohariGhani #JoeSombong #JoeAngkuh #asalbukanjoeghani @JoeBongkak #ABJ di kawasan Titiwangsa.
Poster yang tersebar menerusi laman sosial digantung di sekitar kawasan Chow Kit dan Keramat.
Ia adalah antara kawasan dalam Parlimen Titiwangsa.
Pada PRU ke-13, Johari berjaya merampas kerusi parlimen Titiwangsa daripada Pas dengan majoriti kecil, iaitu 866 undi. – MalaysiaGazette