KUALA LUMPUR – Seorang ibu tunggal merayu kepada orang ramai untuk membantu membawa balik mayat suaminya yang meninggal dunia 44 hari lalu di Hospital Kerajaan Rashid, Dubai
Gertrude Thangratnam, 53, memberitahu, suaminya, Thangaratnam yang berhijrah ke Dubai untuk mencari peluang perniagaan lapan bulan lepas jatuh sakit dan koma pada Januari tahun ini sebelum diisytihar meninggal dunia.
Beliau menjadi buntu selepas pihak hospital enggan membenarkan mayat suaminya dibawa kembali sehingga kos perubatan sebanyak RM115,000 dijelaskan.
Jumlah itu tidak termasuk kos penerbangan sebanyak RM15,000.
“Saya ibu tunggal yang tidak bekerja kerana selama ini hanya bergantung sepenuhnya kepada suami,” katanya yang memiliki dua orang anak dan salah seorang anaknya cacat dan memerlukan penjagaan rapi.
Gertrude mengakui hidupnya ‘gelap’ seketika apabila diberitahu suaminya sudah tiada kerana hilang tempat bergantung.
“Tetapi semua itu saya tolak ketepi, saya hanya mahu mayatnya dibawa pulang dan disempurnakan di sini,” tambahnya.
Katanya, sejak 40 hari lalu beliau mencari-cari bantuan daripada pelbagai pihak termasuk parti politik India namun tiada siapa yang pedulikannya.
“Mungkin mereka merasakan apa yang saya hadapi bukan masalah besar, sekarang saya merayu bantuan orang ramai.
“Saya tidak minta semua jumlah wang yang diperlukan itu kepada tetapi sekurang-kurangnya boleh bantu saya bercakap dengan pihak berkuasa di sana, mengapa tidak mahu bantu? Saya sangat terdesak dan perlukan bantuan,” ujarnya yang menangis sepanjang sidang akhbar yang di anjurkan oleh Pertubuhan Perkhidmatan Rakyat Malaysia (PPRM).
Sementara itu Presiden PPRM, Datuk P Gunaseelan meminta ada pihak yang dapat memberi bantuan kepada Gertrude.
“Berat sama di pikul, ringan sama di jinjing. Wanita ini hanya mahu suaminya dibawa kembali dan dikebumikan di sini.
“Saya mohon kepada Kementerian Luar untuk bantu bercakap dengan pihak konsulat di sana. Kepada seluruh rakyat Malaysia, tolonglah wanita ini,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat memberikan sumbangan boleh di salurkan ke akaun Bank RHB milik PPRM 21440000023866. atau menghubungi talian 017-5078705. – MalaysiaGazette