KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menimbulkan keadaan tegang di Dewan Rakyat hari ini apabila bertikam lidah dengan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).
Semuanya bermula apabila Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena-PAN) menyebut mengenai tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Hassan dan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Khairy Jamaluddin yang didakwa menghasut golongan muda agar menentang pembangkang di negeri berkenaan.
“Tidak ada sesiapa yang menolak hasrat untuk kita bentuk budaya berintegriti, bernilai tinggi dalam masyarakat.
“Ia semacam berlaku tentangan dengan konsep TN50, contoh apa yang disebut oleh MB Negeri Sembilan dan Menteri Belia dan Sukan dalam menghasut anak muda BN supaya terbalikkan meja di kedai kopi bila melihat perkembangan politik di negara ini.
“Saya melihat ini satu bertentangan dengan konsep TN50 yang menunjukkan ia tidak lebih daripada pembohongan kepada masyarakat,” katanya yang menimbulkan rasa kurang senang beberapa Ahli Parlimen.
Antara yang bangun adalah Datuk Bung Mokhtar (Kinabatangan-BN) yang mempersoalkan tindakan Mahfuz yang cuba menimbulkan rasa tidak puas hati di pihak BN.
“Inilah orang yang suka lompat-lompat (parti). Tapi tidak ada soalan pun.
“Dalam Pas tidak begini pun, sudah keluar jadi ahli PAN jadi samseng pulak, hairan ya,” kata Bung.
Melihat akan perkara itu, Mahfuz ditenangkan oleh Timbalan Speaker Dewan Negara, Datuk Ismail Mohamad Said.
“Cukup Pokok Sena, cukup. Timbalan Menteri teruskan,” kata Ismail.
Pertikaman lidah itu berlaku semasa pertanyaan lisan Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai-PKR) yang bertanyakan kepada Menteri Pendidikan tentang kegagalan pentauliahan 6,000 pelajar Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Mahfuz pula yang bingkas bangun untuk mengutarakan soalan tambahan berhubung tindakan Mohamad dan Khairy Jamaluddin semasa program Pelancaran Briged Gempur 2314 Pemuda BN di Rembau, Negeri Sembilan pada 18 Mac lalu.
Mohamad dalam majlis itu menyeru agar Pemuda BN untuk tidak memberi muka kepada pembangkang dan ‘menggempur’ kedai kopi sarang pembangkang. -MalaysiaGazette.