ALOR SETAR – Pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan kedudukan jurulatih Kedah, Ramon Marcote.
Presiden persatuan itu Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, ini susulan prestasi Lang Merah yang agak merudum sejak kebelakangan ini, antaranya terlepas dua piala utama iaitu Piala Sumbangsih dan Piala FA serta jatuh ke kedudukan ketujuh dalam Liga Super.
“Pada mesyuarat itu nanti, kita akan beri ruang kepada Ramon untuk menjelaskan keadaan sebenar mengenai prestasi pasukan di bawah bimbingannya.
“Tidak adil kalau kita terus ambil tindakan padanya,” katanya kepada Bernama elepas menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Pejabat Tanah Kota Setar di sini semalam.
Setelah gagal mempertahankan Piala Sumbangsih dan Piala FA musim ini, penyokong setia Kedah mula mempersoalkan kemampuan Ramon sebagai jurulatih pasukan selain menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pemain import pilihan Ramon, Pablo Pallares yang dilihat gagal menyinar.