Peneroka Ijok, Selangor

KUALA LUMPUR –  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menahan pengurusan serta membeku harta dan akaun milik Menteri Besar Diperbadankan (MBI) Selangor yang mempunyai kaitan dengan kes penjualan tanah seluas kira-kira 880 hektar di Ijok, Selangor.

Pengerusi Badan Bertindak Asal Peneroka Tanah Ijok 2003/2013, Fadzil Ibrahim berkata, tindakan itu perlu dilakukan segera memandangkan MBI Selangor turut mendapat manfaat daripada tanah terbabit yang asalnya adalah hak milik peneroka.

“Kami mengalu-alukan tindakan SPRM menahan individu yang ada kaitan dengan syarikat-syarikat pemaju dan konsultan disyaki menyalurkan wang dari hasil jualan tanah kami ke Eco World.

“Namun, pihak SPRM sepatutnya menahan, menyiasat serta membekukan harta dan akaun melibatkan pihak-pihak lain yang ada hubung kait dengan transaksi ini.

“Syarikat guaman Daim & Gamany yang dilantik untuk peneroka atas arahan pihak kerajaan negeri dan menjadi pengurus wang hasil jualan perlu ditahan dan disiasat serta akaun dibekukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, SPRM menahan enam individu termasuk dua bergelar Datuk bagi membantu siasatan kes penjualan tanah seluas kira-kira 880 hektar di Ijok, Selangor kepada syarikat pemaju swasta pada harga RM1.18 bilion.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, mereka yang berusia antara 34 dan 84 tahun itu ditahan di Petaling Jaya serta Putrajaya semalam dan antara yang ditahan adalah bapa dan anak lelakinya.

Fadzil berkata, SPRM perlu bertindak segera untuk memastikan wang berkenaan tidak mengalir ke akaun di luar negara dan tanah diguna atau dijual untuk tujuanlain sebelum kes berkenaan selesai.

“Kami turut mengharap pihak SPRM merungkai misteri tanah 1,000 ekar kami yang diambil oleh MBI Selangor.

“Pihak peneroka sentiasa bersedia untuk membantu siasatan dan diambil keterangan oleh SPRM supaya perkara sebenar melibatkan nasib peneroka yang ditipu dan ditindas kerajaan negeri diketahui,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast