Pengarah Urusan Perbadanan Nasional Berhad, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin ketika ditemubual pada majlis perasmian Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) 2.0 KK Super Mart di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 21 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Pengendali induk KR1M 2.0, Perbadanan Nasional Berhad (PNS) menyasarkan membuka 3,000 cawangan dalam tempoh tiga tahun akan datang datang.

Pengarah Urusan, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata, ketika ini sebanyak 52 cawangan KR1M 2.0 telah beroperasi sejak dilancarkan penjenamaan semula pada awal bulan lalu.

Jelas beliau, penstrukturan semula KR1M 2.0 sedang dilaksanakan mengikut tiga kategori dan secara berfasa iaitu kategori pertama melalui rangkaian pasaraya TMG dan kategori kedua menerusi konsep serbaneka khususnya di kawasan bandar bersama rangkaian kedai KK Super Mart yang terpilih.

Ujarnya, kategori ketiga pula melibatkan kedai runcit biasa yang berdaya maju dan dilaksana kemudiannya selepas selesai peringkat kategori satu dan dua itu.

“Penstrukturan KR1M 2.0 tidak memfokuskan kepada kedai fizikal yang khusus seperti dahulu apabila pasar raya atau kedai yang menjual produk KR1M 2.0 ialah pasar raya atau kedai sedia ada.

“Pemilik outlet atau perniagaan yang sendiri yang menjalankan perniagaan KR1M 2.0 seperti operasi biasa premis mereka. Logo KR1M 2.0 turut dipasang pada papan tanda outlet mereka sebagai menandakan bahawa outlet tersebut menjual produk-produk KR1M.

“Konsep ini dikenali sebagai kendalian pemilik (owner-operator) dan penjenamaan bersama (co-branding). Tumpuan produk yang dijual melalui KR1M 2.0 ini ialah barangan keperluan asas seperti gula kasar, minyak masak, tepung gandum dan beras yang dijual pada harga berpatutan.

“Selain itu, KR1M 2.0 juga tidak lagi menjual produk dalaman khas sendiri yang berbungkus warna putih seperti yang lalu. Barangan KR1M 2.0 yang dijual adalah barangan harian yang berjenama dan biasa dikenali ramai dengan pembungkusannya sama seperti yang dijual di kedai lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran KR1M 2.0 di Terminal Bersepadu Selatan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri. Dr Ahmad Zahid Hamid  di sini hari ini.

Kerajaan sebelum ini telah melantik PNS, sebuah agensi di bawah (KPDNKK) sebagai pengendali induk kepada KR1M 2.0.

PNS berperanan menyelia dan menjalinkan kerjasama dengan rakan-rakan strategik bagi melaksanakan KR1M 2.0.

Mengulas lanjut, Syed Kamarulzaman berkata, penjualan barangan KR1M 2.0 yang menggunakan bungkusan asal produk berjenama dengan harga kompetitif telah meningkatkan keyakinan pengguna.

Tambahnya, strategi perniagaan ini membolehkan harga barangan KR1M 2.0 diturunkan kepada harga yang lebih berpatutan dan harga sebegini boleh dilaksanakan oleh pasar raya atau pekedai lain jika strategi perniagaannya dilakukan dengan betul.

“Ia secara tidak langsung mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan peniaga runcit yang lain dan akhirnya pengguna yang mendapat nikmatnya apabila banyak pasar raya dan kedai runcit menawarkan barangan keperluan asas dan harian pada harga yang kompetitif.

“Setakat ini melalui kerjasama bersama syarikat pengeluar dan peruncitan, KR1M 2.0 menawarkan harga yang kompetitif bagi lebih 100 produk. Bilangan produk KR1M 2.0 ini telah bertambah daripada 50 produk semasa KR1M 2.0 mula dilancarkan pada Februari lalu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast