SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menetapkan Khamis depan untuk mendengar permohonan semakan semula hukuman yang dikenakan terhadap Datin Rozita Mohamad Ali yang mengaku bersalah mencederakan pembantu rumahnya dua tahun lalu.
Hakim Datuk Seri Tun Abd Majid Tun Hamzah menetapkan tarikh tersebut selepas Rozita, 44 dan penjaminnya gagal hadir ke mahkamah.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Iskandar Ahmad berkata, pihaknya telah pergi ke rumah Rozita dan keluarganya di Damansara dan Melaka serta kediaman penjamin untuk menyerahkan notis meminta hadir ke mahkamah namun tiada siapa berada di rumah.
Sehingga lewat malam tadi, notis berkenaan gagal diserahkan kepada mereka.
Pada 15 Mac lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Mohammed Mokhzani Mokhtar, memutuskan Rozita dikenakan bon berkelakuan baik lima tahun dengan jaminan RM20,000.
Keputusan itu dibuat selepas Rozita mengaku bersalah atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah terhadap pembantu rumah warga Indonesia, Suyanti Sutrinso, 19.
Tertuduh, yang sebelum ini mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan, bagaimanapun menukar pengakuan selepas pertuduhan pindaan ditawarkan kepadanya.
Berdasarkan pertuduhan pindaan, Rozita didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti dengan menggunakan sebilah pisau berhulu biru, sebatang mop lantai, sekaki payung, sebatang rod besi berwarna biru, sebatang alat mainan kucing dan penyangkut baju berwarna putih yang digunakan sebagai senjata untuk menyerang.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah, Jalan PJU 7/30, Mutiara Damansara antara jam 7 pagi dan 12 tengah hari, 21 Jun 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.
Kes Rozita mencetuskan kemarahan ramai yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap hukuman ringan yang dikenakan berbanding kecedaraan yang dialami oleh pembantu rumahnya. – MalaysiaGazette