Home Politik Pengundi ghairah mahu Ibrahim bertanding lagi

Pengundi ghairah mahu Ibrahim bertanding lagi

Dr Ibrahim mengumumkan bertanding di dua kerusi, Parlimen Pasir Mas dan DUN Tendong pada PRU14 ini.
Dr Ibrahim mengumumkan bertanding di dua kerusi, Parlimen Pasir Mas dan DUN Tendong pada PRU14 ini.

KUALA LUMPUR – Datuk Ibrahim Ali mengumumkan akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) namun masih berteka-teki sama ada memilih Parlimen Pasir Mas atau Rantau Panjang.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu berkata, sebagai anak jati Pasir Pas, pengundi di sana rata-rata mahu beliau bertanding semula.

“Saya orang politik,saya umumkan secara rasmi saya akan bertanding

“Saya bertanding kerana rata-rata rakyat nampak ghairah mahu saya bertanding sebab sejak saya jadi wakil rakyat di sana mereka tahu buruk baik khidmat saya dan mereka boleh banding dengan wakil rakyat lain.

“Emosi mereka untuk saya kembali bertanding cukup jelas, saya akan bertanding sama ada di Pasir Mas atau Rantau Panjang,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Perkasa hari ini.

Ibrahim secara terbuka berkata, beliau cenderung untuk bertanding di bawah parti politik yang berpotensi menang berbanding menjadi calon bebas pada 2013 lalu.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu yakin boleh meraih sekurang-kurangnya 8,000 undi jika ‘dijemput’ mana-mana parti politik sebaliknya 3,000 undi sahaja jika bertanding atas tiket bebas.

“Saya berhasrat nak bertanding atas nama parti politik, parti mana saya tak boleh jawab, kot-kot ada parti yang murah hati menyenaraikan nama saya dan kalau saya tertarik nak bertanding atas logo mereka saya boleh terima.

“Tapi saya tidak akan terima bulat-bulat. Saya akan tengok dulu manifesto mereka,” katanya.

Ibrahim mendakwa beliau mempunyai jentera di setiap DUN dengan sebanyak 500 di  Parlimen Pasir Mas dan 6 di Rantau Panjang.

“Saya boleh menang tapi kalau saya bertanding atas tiket parti politik, peluang nak menang lagi mudah, paling tidak majoriti tidak kurang 8,000 undi.

Ibrahim pernah memenangi kerusi Pasir Mas pada 1986 di bawah tiket Umno dan pada tahun 1990 ketika bersama Semangat 46.

Beliau tewas pada tahun 1999 dan 2004, sebelum menang semula di kerusi sama pada 2008 di bawah tiket Pas.

Beliau kemudiannya bertanding sebagai calon bebas dan kalah di tangan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pada 2013 yang memperoleh 33,431 undi menewaskan Ibrahim Ali yang mendapat 25,384 undi sahaja. -MalaysiaGazette