TUARAN – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sejak mengambil alih jawatan sebagai perdana menteri beliau memberi perhatian amat serius terhadap kepentingan rakyat Sabah dan pembangunan di negeri itu.

Najib berkata beliau merupakan perdana menteri pertama yang malantik tujuh pemimpin dari Sabah menganggotai Kabinet Persekutuan, sekaligus merupakan sejarah bagi negara ini.

“Saya cukup beri perhatian berat kepada orang Sabah. Contohnya banyak. Tak pernah dalam Kabinet Persekutuan, tak pernah dalam sejarah, tujuh orang menteri berasal dari Sabah.

“Saya kira dalam masa lebih kurang lapan tahun ini, saya telah melawat Sabah lebih kerap daripada seorang yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun,” katanya ketika berucap pada majlis tinjauan projek Jalan Telipok-Kiulu-Randagong di Kampung Pukak, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Anggota Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun dan Anggota Dewan Undangan Negeri Kiulu Datuk Joniston Bangkuai.

Najib berkata sebagai peneraju kerajaan Barisan Nasional (BN), perhatiannya kepada rakyat Sabah adalah manifestasi kepada pendekatan kerajaan BN pimpinannya yang sentiasa menepati apa juga dijanjikan kepada rakyat.

Katanya beliau berbeza dengan perdana menteri terdahulu yang walaupun berkuasa selama 22 tahun namun perhatiannya terhadap Sabah amat kurang.

“Jalan yang kita rasmi ini telah dicadangkan dalam Rancangan Malaysia Ketujuh lagi. Dan tahun 1986 hingga tahun 1990, waktu itu, orang berkenaan itu menjadi perdana menteri. Hari ini orang itu menawar diri nak kembali menjadi perdana menteri…hanya ketika saya menjadi perdana menteri, baru jalan ini diluluskan,” katanya.

Menurut Najib apa yang dilakukannya untuk Sabah dan juga negara ini selama ini bukan untuk kepentingan dirinya tetapi sebagai asas untuk melonjakkan lagi Sabah dan negara amnya ke tahap yang lebih maju.

“Macam kita buat di sini, di Kiulu ini, asas masa depan. Tuan-tuan berada diambang perubahan yang besar dan kita boleh mencapai (perubahan besar) itu dengan syarat kita memberi sokongan padu kepada BN,” katanya.

Najib juga mengulangi janjinya untuk mengembalikan apa juga hak rakyat Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sementara itu, Najib menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya negara ini muflis kerana sekiranya perkara terserbut benar seperti didakwa, mana mungkin kerajaan mampu melaksanakan projek-projek mega bernilai berbilion ringgit seperti projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah.

“Negara muflis boleh bina Lebuhraya Pan Borneo bernilai RM18 bilion dari Sindumin, Sipitang hingga ke Tawau sepanjang 1,200 kilometer tanpa tol?,” soalnya.

Mengenai peruntukan terbaharu diluluskan kerajaan persekutuan kepada kawasan Parlimen Tuaran, Najib berkata sebanyak RM2.2 juta telah diluluskan untuk masjid dan surau dan RM2.5 juta lagi untuk dewan Gereja St John Tuaran.

Najib juga berkata kerajaan akan menaik taraf jalan raya sepanjang 22 kilometer di kawasan Parlimen Tuaran selain akan menyediakan peruntukan untuk pengukuran tanah adat di kawasan berkenaan dalam penggal kerajaan akan datang. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast