KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini diberitahu beberapa pegawai Felda terlibat dalam pindah milik tanah Jalan Semarak masih bebas daripada tindakan majikan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, setakat ini tidak ada sebarang tindakan seperti penggantungan dalam masa tiga bulan ini kepada pegawai Felda terlibat dalam pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak anggaran bernilai RM270 juta.
Dalam hal berkaitan, jawatankuasa inkuiri dalaman yang ditubuhkan Felda telah diberi masa tiga bulan untuk syor-syor tindakan yang akan dikenakan ke atas pelaku.
“Jawatankuasa itu ditubuhkan pad Februari lalu, dan mereka sedang menyiasat mereka, kita tunggu dua bulan lagi untuk mengetahui tindakan yang akan diambil lembaga Felda ke atas pegawai yang terlibat,” katanya di Dewan Rakyat semasa sesi penggulungan usul Junjung Kasih Titah Ucapan Diraja hari ini.
Beliau menjawab demikian kepada pertanyaan Ahli Parlimen Puchong (DAP), Gobind Singh Deo sama ada tindakan penggantungan dikenakan Felda ke atas pegawai yang terlibat dalam skandal penukaran hak milik tanah di Jalan Semarak itu.
Gobind menjelaskan tindakan segera perlu dilaksanakan Felda ke atas pelaku tanpa membiarkan pegawai itu terus berada dalam perkhidmatan walaupun siasatan sedang dilaksanakan pihak berkuasa dan juga majikan.
Tambah Razali yang juga Ahli Parlimen Muar, polis juga sedang menyiasat kes tersebut selain jawatankuasa inkuiri Felda mengendalikan kes berkenaan dan pihaknya memerlukan masa untuk merangkumkan bentuk tindakan yang bakal diambil kelak.
Pada 21 Disember lalu sebuah akhbar tempatan mendedahkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, apabila diragui bertukar milik menerusi transaksi meragukan sejak 2015.
Tanah itu sedang dimajukan untuk membina Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), sebuah projek bernilai tinggi membabitkan tujuh menara.
Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan Felda memberikan surat kuasa wakil penuh kepada syarikat itu bagi membangunkan tanah itu. – MalaysiaGazette