'Parlimen rakyat' sentiasa hangat, lebih lagi kalau topik dibincangkan ialah politik

DALAM seminggu ini ambo berada di Kelantan atas urusan keluarga. Sambil-sambil tu ambo mencuri celah masuk ke ‘parlimen rakyat’ di kedai-kedai kopi kerana nak dengar perkembangan semasa pasal politik di Serambi Mekah.

Maklumlah tinggal di kampung, mana ada talian internet. Kalau nak dengar berita semasa kenalah pergi ke ‘parlimen rakyat’. Memang hangat dan panas. Banyak isu dibualkan, mengalahkan berita-berita yang disiarkan dalam media sosial, media cetak dan media elektronik.

Pembahas, pendebat, pencadang, penyokong, pendengar dan pemerhati semuanya orang-orang kampung belaka. Tidak ada seorang pun dalam kumpulan itu dari kalangan pemimpin kanan atau tertinggi atau AJK peringkat bahagian mahupun negeri.

Yang berusia 30-an bertindak sebagai pemerhati, sengih-sengih kalau perdebatan itu melucukan. Yang berusia bawah 50-an pula bertindak mengemukakan soalan panas dan cepu mas manakala yang berusia 60-an ke atas sebagai pendebat serta pembahas.

Seratus peratus isu yang diperdebatkan ialah senario politik Kelantan yang berkisar kepada UMNO, Pas dan beberapa parti komponen dari Pakatan Harapan.

Bila disemak status mereka-mereka ini dalam parti, ada yang mantan ketua cawangan, ada yang bekas AJK cawangan dan kebanyakannya tidak menjadi ahli mana-mana parti. Mereka hanya penyokong kepada parti-parti berkenaan sahaja.

Ambo berasa seronok berada dalam ‘parlimen rakyat’ ini. Ambo dapat dengar macam-macam cerita, keadaan dan suasana politik semasa di bahagian-bahagian tertentu.

Cadangan mereka, teguran mereka, kritikan mereka, pandangan mereka dan macam-macam lagi yang mereka bualkan ada yang betul dan ada juga yang tak boleh diterima pakai langsung.

Pendek kata, mereka tahu serba-serbi pasal politik. Sebutlah apa saja isu, dari politik zionis, Rohingya, Donald Trump, Jho Low, 1MDB, GST, BRIM sampai bukit gondol di Lojing, Gua Musang. Mereka memang ‘tahu’ dan ‘pakar’.

Mereka boleh bahas dari pagi sampai ke malam pasal perangai Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ahli-Ahli Majlis Tertinggi (MT), Ketua-Ketua Bahagian, AJK-AJK Bahagian, siapa-siapa yang mengepalai jentera parti dan apa-apa saja perancangan pihak atasan untuk parti.

Bukan setakat itu saja, mereka juga tahu siapa yang layak dan siapa tidak layak jadi calon pilihan raya umum. Siapa bakal bertanding, menang dan kalah bagi perebutan jawatan ketua, timbalan ketua, naib ketua dan AJK-AJK bahagian pada persidangan parti akan datang pun mereka tahu. Hebat sungguh ‘parlimen rakyat’ ini.

Satu jam ambo berada dalam kelompok ini rasa tidak puas. Ambo tambah lagi waktu lepak sejam lebih-lebih sebab seronok dengar mereka berdebat. Mereka bukan tokoh politik yang ada jawatan tinggi di peringkat bahagian, negeri atau pusat pun. Mereka hanyalah petani, pekebun dan penganggur yang ada seekor dua lembu dan kerbau ternakan sahaja.

Tapi bila mereka bercakap pasal politik mengalahkan pakar, penganalisa, pensyarah politik tersohor negara.

Cuma kelemahan ‘parlimen rakyat’ ni, bab fakta agak meragukan. Ada sedikit kekeliruan. Mereka hanya hentam keromo untuk menyedapkan perdebatan, mereka tokok tambah supaya dapat meneruskan point-point percakapan. Itulah ‘parlimen rakyat’.

Tapi dalam bab cadangan, pendapat dan kritikan, ambo rasa mungkin 40 peratus daripadanya boleh diterima pakai. Sebab cara percakapan itu adalah berdasarkan pengalaman masing-masing sebagai orang lama dalam sepak terajang politik.

Apa pun, kesimpulan yang ambo dapat dari ‘parlimen rakyat’ ini sebenarnya tidak jauh persamaan dari kesimpulan yang ambo peroleh selepas mengikuti ‘persidangan’ AJK-AJK bahagian dan jentera-jentera bahagian sebelum ini.

Kesimpulan paling tepat ialah UMNO MASIH LAGI TIDAK MAHU BERSATU. Atau dengan kata lain, masih mahu kekal BERPECAH.

Di peringkat ‘parlimen rakyat’ kata, ada cah keting. Peringkat  ‘persidangan’ AJK-AJK serta jentera-jentera parti juga cakap masih ada tarik menarik, jatuh menjatuh dan tikam menikam sesama sendiri.

Perkara itu berlaku berpunca dari ramainya calon bidan terjun yang muncul tiba-tiba. Mereka beraktiviti di kampung-kampung tanpa meminta izin kepimpinan parti.

Kehadiran calon itu menyebabkan jentera parti kurang senang dan berlakulah cantas mencantas.

Spesies calon bidan terjun ini pula banyak jenis. Ada yang kononnya mendapat restu kepimpinan bahagian. Ada yang mendabik dada kononnya dia mendapat izin kepimpinan negeri dan ada juga yang kononnya mendapat kebenaran dari pusat. Mereka turun dengan lagak sombong, tidak menghormati tuan rumah.

Ini yang menyebabkan berlaku gerakan ‘bawah tanah’ oleh pihak tuan rumah untuk menjatuhkan ‘calon’ berkenaan. Ambo memang pening memikirkan politik yang berlaku di Kelantan ini dan juga di negeri-negeri lain khususnya.

Tambahan pula, jentera parti ni, kalau dalam bab menjatuhkan regu sendiri memang hebat dan handal. Mereka boleh dalam sekelip mata mengatur strategi untuk menjatuhkan si polan-si polan.

Tapi kalau bab nak mengalahkan musuh dari parti lawan, nampak seperti susah. Nampak macam jentera hilang strategi. Hilang taring serta merta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast