Rizal Mansor

KUALA LUMPUR – Datuk Rizal Mansor berpendapat, Pakatan Harapan tidak boleh terpedaya dengan kata-kata Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kononnya mahu memegang jawatan perdana menteri selama dua tahun sahaja.

Beliau mendakwa, bekas perdana menteri itu sekali lagi bakal ‘menguburkan’ impian Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri kerana pengerusi PPBM itu mungkin tidak akan menyerahkan jawatan tersebut.

“Hari ini, pemimpin 93 tahun itu pula dinamakan untuk menjadi PM (perdana menteri) ke-7 jika BN (Barisan Nasional) berjaya ditewaskan pada PRU-14 dengan perjanjian untuk menyerahkan jawatan nombor satu itu kepada DS Anwar Ibrahim selepas dua tahun.

“Tetapi, dalam wawancara dengan media Australia baru-baru ini pula, Tun Dr Mahathir menunjukkan tembelangnya apabila berkata, undi beliau mungkin sama seperti undi Anwar.

“Perkataan “mungkin” itu secara jelas menunjukkan Mahathir tidak ikhlas dalam perjanjian untuk melantik Anwar menjadi PM selepas dua tahun Anwar keluar dari penjara,” katanya menerusi status di Facebook.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Khas Pejabat Perdana Menteri itu mengingatkan, beberapa insiden menunjukkan Mahathir pernah berjanji melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang jawatan yang sama lebih kurang setahun lalu dan berpura-pura sibuk memegang telefon bimbit ketika pemimpin pembangkang diminta mengangkat plakad ‘Anwar PM ke-7’.

“Jangan kita pernah lupa Anwar kempunan nak jadi PM kira-kira 20 tahun lalu juga sebab Mahathir,” ujarnya.

Rizal turut mendakwa Mahathir hanya mahu melantik anaknya menjadi perdana menteri.

“Jangan-jangan Mahathir cuma nak anaknya yang jadi PM ke-8, sebab selepas menang PRU-14 nanti dan bila beliau dah jadi PM nanti, siapa berani nak tentang kalau beliau tetap mahu DS (Datuk Seri) Mukhriz jadi PM.

“Pada masa itu lah kita dapat tengok DAP, PAN dan PKR sekalipun tak mampu nak melawan Mahathir sebab semua dah kekenyangan dengan dedak yang beliau hidangkan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast