Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos memegang ayam daging dalam siri Jualan Ikan Murah anjurannya di Kampung Penerangan, Sekinchan, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR – Ketidaktentuan harga ikan di pasaran hingga mencecah RM22 sekilogram bagaikan tiada penyelesaian apabila rakyat terpaksa membeli pada harga tinggi untuk mendapatkan bekalan protein itu.
Kenaikan harga sumber makanan laut akibat manipulasi ‘orang tengah’ yang memborong daripada nelayan dan kemudiannya menjual pada harga berlipat kali ganda kepada peruncit menyebabkan beban itu kini ditanggung oleh pengguna.
Ketika rakyat dibebani kos sara hidup itu, muncul idea Jualan Ikan Murah cetusan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang boleh menawarkan harga ikan jauh lebih dari harga pasaran serendah RM5 sekilogram.
Ramai memuji dan tidak kurang pula mengeji kerana tindakan Jamal yang dilihat cuba mensabotaj harga ikan kembong, cencaru, sardin dan mabong di pasaran dengan mengenakan pada satu harga sahaja.
Sejak Jualan Ikan Murah itu diperkenalkan Jamal pada Oktober tahun lepas, pelbagai pihak kini ‘buka mata’ kerana usaha kecil itu terbukti membantu rakyat khususnya golongan B40 di kawasan bandar dalam menangani kos sara hidup.
Bukan sumber makanan laut sahaja, bahkan barang keperluan lain turut dijual dalam siri jualan murah itu seperti ayam daging RM10 seekor, sekampit 5 kilogram beras tempatan dijual pada harga RM10, gas memasak RM20 dan telur ayam.
Jejak langkah Jamal selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sungai Besar itu juga mula diikuti oleh pelbagai pihak termasuk pemimpin-pemimpin UMNO Bahagian, menteri dan juga agensi kerajaan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim memegang ikan pada Program Jom Makan Ikan Sempena Kempen Pengurangan Kos Sara Hidup di hadapan Pasar Mini Mybeli Saujana Utama, Sungai Buloh pada 8 Oktober 2017.

Ini boleh dilihat daripada penganjuran Program Jom Makan Ikan Sempena Kempen Pengurangan Kos Sara Hidup di hadapan Pasar Mini Mybeli Saujana Utama, Sungai Buloh pada 8 Oktober 2017 oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang menawarkan diskaun sehingga 50 peratus harga ikan.

Selain itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor turut mencontohi usaha Jamal dengan menganjurkan Jualan Ikan Separuh Harga di Putrajaya pada Disember tahun lepas.

Sebanyak tiga tan ikan seperti pelaling, cencaru, sardin dan tongkol dijual antara RM7 dan RM8 sekilogram disediakan pada program itu yang dilanjutkan sehingga malam untuk memberi peluang kepada lebih ramai penduduk membeli ikan berkenaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Jualan Ikan Segar Separuh Harga di Putrajaya pada Disember tahun lepas.

Kini, usaha menangani kos sara hidup telah mendapat perhatian kerajaan dan menjadi salah satu inisiatif yang disenaraikan dalam Bajet 2018 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 27 Oktober 2017.

Lebih membanggakan apabila siri Jualan Ikan Murah itu kini telah dijadikan sebagai program kerajaan yang dikoordinasikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan kerjasama LKIM dan pelbagai agensi kerajaan berkaitan seperti FAMA.

Jualan Ikan Murah atau separuh harga atau diskaun sehingga 50 peratus yang sering dicemuh dan dikecam pihak pembangkang kerana program itu didakwa bermusim sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebenarnya tidak berasas.

Ini kerana bukan sahaja siri Jualan Ikan Murah bahkan Restoran Makanan Percuma Gabungan NGO 1Malaysia telah dimulakan lebih awal malah mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai.
Ia sekali gus membuka mata rakyat bahawa di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak, kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang, agama dan kaum menjadi agenda utama dalam pembangunan menerusi Transformasi Negara 2050 (TN50). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast