KUALA LUMPUR – Beberapa laluan utama sekitar Kuala Lumpur akan ditutup pada hari ini mulai pukul 1.30 petang sehingga 4 petang bagi memberi laluan kepada perlumbaan akhir jelajah Le Tour de Langkawi (LTDL) 2018.
Antara laluan yang akan ditutup ialah Jalan di Kampung Cheras Baru, Jalan Kuari, Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Jalan Cheras, Jalan Tun HS Lee, Jalan Kinabalu, Laluan sekitar Masjid Negara, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Jalan Raja, Dataran Merdeka, Leboh Pasar Besar, Jalan Hang Lekiu, Jalan Tun Perak, Jalan Raja Chulan, Jalan P. Ramlee dan Jalan Ampang.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kesemua jalan berkenaan akan ditutup kepada lalu lintas bermula 1.30 petang, Ahad.
“Perlumbaan akhir LTDL 2018 yang bermula di Rembau, Negeri Sembilan akan memasuki ibu negara sekitar 2 petang, Ahad.
“Jadi, bagi memastikan kelancaran siri akhir perlumbaan itu, beberapa laluan akan kita tutup kepada lalu lintas,” menurut kenyataan akhbar hari ini. – MalaysiaGazette