Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar (tengah) bersama Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim bergambar bersama masyarakat nelayan yang menerima bantuan sara hidup dan jaket keselamatan pada program Gelombang Nelayan Nasional Selangor 2018 di Kompleks LKIM, Kuala Selangor, hari ini.

KUALA SELANGOR – Nelayan sewajarnya ke depan mempertahankan Kerajaan Barisan Nasional (BN) apabila diserang pembangkang kerana golongan itu paling banyak diberikan bantuan kebajikan di negara ini.

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, langkah itu wajar dilaksanakan masyarakat nelayan sebagai tanda berterima kasih kepada kerajaan BN yang selama ini tidak pernah meminggirkan kebajikan mereka tanpa mengira fahaman politik.

“Saya merayu jangan termakan fitnah yang dibawa pembangkang. Kalau disebut 1MDB dan pelbagai isu lain kepada BN, nelayan patut kedepan pertahankan kerajaan memerintah kerana mereka paling banyak dapat bantuan.

“Saya harap sokongan nelayan ini sebagai rasa berterima kasih kepada Kerajaan BN,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Gelombang Nelayan Nasional Selangor 2018 di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) hari ini.

Terdahulu, Noh dalam ucapannya juga menggesa masyarakat nelayan agar tidak termakan dengan dakyah pembangkang dengan turut serta mengkritik kerajaan sedang mereka tidak memahami keadaan sebenar termasuk isu 1MDB.

“Jangan pula nelayan percaya cerita bukan-bukan. Isu 1MDB isu lapuk. Bila timbul isu 1MDB, elaun nelayan tetap naik juga, bantuan baik rumah nelayan kita tetap bagi juga, tak pernah potong.

“Walaupun kita tahu ada yang sokong PKR dan DAP, tapi kita bantuan juga, Kita kalau nak tolong rakyat, kita tak tanya mereka sokong mana,” katanya.

Noh selaku Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata lagi, apabila harga barang keperluan naik, pembangkang menyalahkan kerajaan kerana kenaikan minyak.

“Hari ini harga minyak turun naik, harga barang tetap naik. Pembangkang sekarang menyalahkan GST sedangkan bekalan ikan dikecualikan cukai itu.

“Rakyat patut sedar yang menyebabkan harga barang naik bukan GST tetapi manipulasi harga yang dilakukan orang tengah yang mengaut keuntungan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast