Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Pahlawan Mohd Dzuraidi Ibrahim. memeriksa barisan sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-211 Tahun 2018 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini. foto Bernama

KUCHING – “Sarawak masih bebas daripada sebarang anasir untuk menimbulkan kekecohan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Pahlawan Mohd Dzuraidi Ibrahim.

Beliau berkata, biarpun begitu polis masih mengumpul maklumat risikan berkaitan individu atau pertubuhan yang berpotensi mengancam keselamatan atau menimbulkan suasana huru-hara di negeri ini pada PRU14 nanti.

“Setakat ini di Sarawak kita tidak ada (individu atau pertubuhan) berpotensi untuk mengancam keselamatan atau timbulkan suasana huru hara. Walaupun tidak ada kita (polis) sentiasa mengumpul maklumat risikan untuk mengenal pasti mereka mungkin mempunyai potensi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Perbarisan sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-211 Tahun 2018 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Mohd Dzuraidi turut membaca perutusan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan menyampaikan sijil penghargaan serta sijil anugerah intergriti kepada 40 penerima terdiri daripada anggota serta kakitangan awam polis negeri.

Mengulas lanjut mengenai PRU14, Mohd Dzuraidi berkata polis Sarawak sudah bersiap siaga 100 peratus untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Kita telah turun ke seluruh negeri untuk pastikan pegawai dan anggota kita termasuk di kawasan pedalaman tidak ketinggalan serta siap siaga untuk jalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen pada PRU14 nanti. Polis Sarawak sudah bersedia dari semua aspek termasuk memastikan anggota menjalani latihan lengkap berkaitan ilmu PRU14,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast