SERDANG – Kolej Keenam (K6) menjuarai pertandingan bola sepak Sukan Kolej (SUKOL) Universiti Putra Malaysia (UPM) 2017/2018 sekali gus mengekalkan kejuaraan tiga tahun berturut-turut bermula 2015.
Kejayaan manis itu hasil kemenangan penuh dramatik 2 – 1 ke atas Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) pada perlawanan akhir yang berlangsung pada perlawanan akhir di Stadium UPM, baru-baru ini.
Pencapaian luar biasa itu berjaya mengangkat nama K6 sebagai antara pengeluar bakat pelapis sukan di universiti tersebut.
Pada perlawanan mendebarkan itu, K6 berjaya mendahului 2-0 pada separuh masa pertama walaupun KTDI lebih menyerang namun buntu menghasilkan gol.
Namun usaha KTDI berhasil apabila merapatkan kedudukan menerusi hasil sepakan penalti dan terus mengasak bertali arus untuk mencari gol penyamaan sebelum kedudukan kekal 2-1 sehingga tamat perlawanan.
Penyerang berbisa K6, Nik Fariezal Erman Nik Abd. Hadi berkata, kejayaan itu membuktikan hasil keras pasukan berbaloi walaupun bermula agak goyah pada peringkat kumpulan.
Sementara itu, SUKOL UPM yang bermula pada semester pertama mempertandingkan secara dua fasa membabitkan 36 acara antaranya ragbi, bola sepak, bola jaring, tenpin boling dan olahraga.
Ia bertujuan menonjolkan bakat pelajar dalam bidang sukan yang turut akan berpeluang dipilih mewakili UPM dalam kejohanan sukan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). – MalaysiaGazette