Saturday, November 16, 2024
Home Nasional TH sedia guna sistem Haji Pintar

TH sedia guna sistem Haji Pintar

Isu berkaitan ibadat haji yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu telah menimbulkan banyak spekulasi dari orang ramai.- Gambar hiasan.

BALING – Lembaga Tabung Haji (TH) sentiasa bersedia dengan sebarang proses naik taraf termasuk penggunaan Sistem Haji Pintar yang akan digunakan kerajaan Arab Saudi bermula tahun ini.

Pengerusinya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, satu pasukan khas sememangnya sudah diwujudkan untuk melakukan semua persediaan yang diperlukan bagi tujuan itu.

Beliau berkata antara elemen sistem itu ialah melaksanakan pemeriksaan pasport menggunakan Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) berbanding secara manual yang diamalkan ketika ini.

“Sistem ini bakal mengurangkan masa menunggu di lapangan terbang dari dua jam, malah ada hingga 18 jam seperti sekarang kepada 30 minit,” katanya.

Dalam masa sama, kerajaan Arab Saudi turut merancang melaksanakan visa E-Haj di seluruh dunia mulai tahun ini, selepas kejayaan projek perintis di Malaysia.

“Ia juga penghargaan dan pengiktirafan kepada jemaah haji Malaysia apabila dipilih untuk dijadikan kumpulan perintis menguji Sistem Bukti Konsep (POC) bagi pelepasan awal sebelum berangkat ke Arab Saudi.

“Malah latihan dan pengurusan haji serta disiplin yang dipamerkan jemaah turut membawa kepada penarafan 9.5 daripada 10 oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada Tabung Haji dan saya harap ia berterusan,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Azeez memohon semua bakal jemaah agar menjawab surat tawaran menunaikan haji dalam kadar segera berikutan TH perlu menyerahkan segala dokumen berkaitan dan permohonan visa sebelum ramadan ini.

“Kita perlu masukkan nama jemaah dengan segera dalam sistem bagi memudahkan urusan visa seperti mana yang ditetapkan perundangan Arab Saudi.

“Ini juga akan memudahkan kita untuk mengetahui daripada 30,280 jumlah jemaah yang ditawarkan, menerima tawaran menunaikan haji sebelum membuka tawaran kepada mereka yang lain,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast