PETALING JAYA – Seorang lelaki warga Bangladesh meninggal dunia selepas teribat dalam pergaduhan di Kota Damansara manakala lelaki Nepal mati ditikam dalam dua kejadian berasingan hari ini.
Kejadian pertama melibatkan lelaki Bangladesh dilaporkan berlaku sekitar 12.30 tengah malam tadi di hadapan kedai Merchantrade di Jalan TSB 10 A, Kota Damansara.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, mangsa dikenalpasti berusia 43 tahun dan merupakan pekerja kedai besi buruk.
“Semasa kejadian, berlaku pergaduhan antara dua lelaki warga Nepal dengan dua lelaki India warga tempatan dengan 10 hingga 15 orang warga Bangladesh di tepi jalan hadapan premis Merchantrade itu.
“Salah seorang lelaki Nepal dipercayai menolak mangsa sehingga terjatuh ke dalam longkang dan tercedera serius di kepala.
“Mangsa telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan segera namun disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan petang tadi.
Tambah Mohd. Zaini, dua lelaki Nepal yang terlibat dalam pergaduhan itu turut mengalami kecederaan di kepala dan sakit badan.
Berikutan kejadian itu, katanya, polis telah mengenalpasti dua lelaki Nepal, dua lelaki India tempatan dan 15 orang warga Bangladesh sebagai suspek dikehendaki dalam kes.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.
“Polis berjaya menangkap dua lelaki warga tempatan berusia 35 hinhgga 48 tahun di tempat kejadian dan dua lelaki Nepal berumur sekitar lewat 20-an jsemasa mendapatkan rawatan di hospital manakala enam lagi warga Bangladesh masih diburu polis,” tegasnya lagi sambil mengesahkan polis sedang menyiasat punca sebenar kematian mangsa.
Dalam satu lagi kejadian berasingan petang ini, seorang lelaki warga Nepal meninggal dunia dipercayai akibat ditikam.
Katanya dalam kejadian sekitar 2.45 petang ini, mangsa seorang pekerja sebuah pasaraya di Seksyen 8 Petaling Jaya meninggal dunia akibat dua tikaman pada dada.
“Siasatan awal polis mendapati si mati berusia 30-an tinggal bersama tiga suspek iaitu Kasi, Jamal dan Kartik di tingkat satu sebuah restoran di Seksyen 8 yang kini diburu polis.
“Polis menerima maklumat panggilan dari seorang kakitangan klinik Lourdes di Jalan Barat yang menerima simati dengan kesan dua tikaman di dada.
“Ketiga-tiga suspek merupakan rakan sekerja si mati di pasar raya tersebut dan kita sedang memburu suspek untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – MalaysiaGazette