KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia (MBM) menyokong penuh cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Anti Berita Tidak Benar yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.
Ia juga berharap agar undang-undang ini diluluskan dan dilaksanakan dalam konteks membina masyarakat maju berbudaya tinggi.
Setiausaha Agungnya, Ahmad Saparudin Yusup melihat usaha itu sebagai mengekang penularan berita palsu dalam media sosial menerusi kaedah penguatkuasaan yang sangat berkesan supaya ia tidak menggugat kestabilan dan keharmonian negara.
“Ini kerana, statistik menunjukkan pengguna Facebook di Malaysia direkodkan seramai 18 juta dan 20 juta ialah pengguna internet.
“Apa yang berlaku sekarang, sesiapa sahaja boleh menulis mengenai perkara palsu, fitnah dan penipuan di media sosial tanpa sekatan dan pertanggungjawaban.
“Malah, jumlah penyebaran berita palsu juga semakin bertambah terutamanya menjelang musim pilihan raya tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Oleh demikian tegas Ahmad Saparudin, penguatkuasaan undang-undang berita palsu itu perlu disegerakan bagi membolehkan setiap individu dan parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU) lebih beretika dan berhemah dalam kempen-kempen mereka.
Justeru katanya, MBM sendiri sebagai badan induk pergerakan belia telah melaksanakan kerjasama strategik bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dengan menjayakan program Jelajah Advokasi Youth Connected pada 2017 di seluruh negara dalam memberi pendidikan dan kesedaran penggunaan maklumat yang betul melalui media sosial kepada masyarakat khususnya generasi muda.
“MBM yakin akta ini adalah satu bentuk langkah pencegahan yang perlu disokong oleh semua pihak tanpa melihat perkara itu dari perspektif politik semata-mata.
“Pengubalan akta ini juga satu peringatan tegas terhadap setiap individu termasuk ahli politik supaya lebih bertanggungjawab atas sebarang kenyataan atau sebaran yang dikeluarkan untuk tatapan rakyat nanti,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette