Pertemuan yang di adakan dengan Setiausaha Bahagian Konsular, Mohd Adli Bin Abdullah di Wisma Putra, Putrajaya bersama-sama Vell Paari, Gunaseelan, Guna Sundari dan Gertrude.

KUALA LUMPUR – Isteri mendiang T. Thangaratnam yang meninggal dunia di Hospital Rashid, Dubai pada 5 Februari lepas memohon pihak-pihak tertentu untuk berhenti menuding jari dan memburukkan situasi yang sedang dihadapinya ketika ini.

Bercakap kepada MalaysiaGazette sebentar tadi, Gertrude berkata, beliau memohon agar masyarakat sudi tampil membantu membawa pulang mayat mendiang suaminya ‘tersekat’ di hospital tersebut kerana kos perubatan sudah mencecah hampir RM150,000 setakat ini.

Jelas Gertrude, sejurus selepas sidang media anjuran Presiden Pertubuhan Perkhidmatan Rakyat Malaysia, Datuk P. Gunaseelan, ramai tampil membantu termasuk Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S. Vell Paari.

“Dari awal lagi, Kementerian Luar telah membantu saya dengan urusan dokumentasi. Bukan mereka tidak bantu seperti yang disebarkan oleh segelintir pihak. Cuma mereka tidak dapat membantu saya dari segi kewangan, itu sahaja.

“Jumaat lepas, Vell Paari telah mengadakan pertemuan dengan konsular Kementerian Luar bersama saya dan juga Gunaseelan. Kami telah diberikan penjelasan serta beberapa jalan penyelesaian, walaupun masih lagi buntu bagaimana untuk membawa mendiang suami kembali, namun saya percaya Vell Paari juga sedang berusaha untuk membantu saya.

“Saya juga tidak faham mengapa ada berita-berita yang mengatakan beliau atau Kementerian Luar tidak membantu, saya amat berterima kasih dengan setiap insan yang ikhlas mahu membantu dari awal lagi, tetapi pada masa sama, saya mohon isu ini jangan dipolitikkan sebaliknya merayu kepada semua untuk berganding bersama-sama bantu saya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sejak beberapa hari lepas, pelbagai spekulasi dan pihak tertentu tampil mengkritik Kementerian Luar dan Vell Paari dengan juga membuat hebahan melalui media sosial kononnya tiada sebarang bantuan diterima.

Jelas Gertrude, memang pada awalnya, ketika memohon bantuan daripada MIC, beliau tidak diberikan sebarang jawapan malah tiada sesiapa pun tampil membantunya namun sejak sidang media minggu lepas ramai tampil mahu membantu.

“Saya tidak pasti adakah Vell Paari membantu dari segi parti atau kapasiti peribadi namun saya tidak ingat memberitahu mana-mana pihak beliau tidak mahu membantu.

“Saya juga mahu beritahu kepada semua, Kementerian Luar telah membantu saya dari awal lagi dari segi nasihat dan dokumentasi, masalah utama saya adalah kewangan apatah lagi saya sendiri bukanlah golongan berada.

“Saya hanya bekerja sebagai guru tadika dan gaji tersebut hanya cukup makan sahaja, bagaimana saya mahu membayar bil beratus ribu? Ada juga pihak tidak bertanggungjawab yang menuduh saya sengaja tidak mahu berbelanja wang peribadi tetapi saya tiada sebarang simpanan. Saya mohon kepada semua pihak untuk beri peluang kepada saya dan anak-anak untuk menatap wajah suami buat kali terakhir selain melakukan ritual untuknya,” kata Gertrude.

Gertrude melalui Gunaseelan turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy Sabtu lepas sebelum diberikan keyakinan pihaknya akan cuba membantu keluarga ini untuk membawa balik mayat lelaki tersebut.

Mendiang Thangaratnam yang berhijrah ke Dubai untuk mencari peluang perniagaan lapan bulan lepas jatuh sakit dan koma pada Januari tahun ini sebelum diisytihar meninggal dunia.

Gertrude tidak dapat menahan sebak ketika merayu untuk mendapatkan bantuan orang ramai bagi membawa balik mayat suaminya yang masih berada di Dubai semasa sidang media di Grand Pacific Hotel, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 MAC 2018.