Noh Omar

SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) Selangor merangka lima perkara untuk memperkasakan golongan belia di negeri itu sekiranya berlaku pertukaran mandat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) ini.

Perancangan yang dirangka dalam bentuk janji itu adalah antara usaha BN negeri untuk melihat belia diberi peluang meneruskan aktiviti yang memberi manfaat kepada negara dan diri sendiri.

Menurut Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar, lima janji itu ialah pembinaan stadium baharu, kompleks belia, rumah transit, keusahawanan dan memperkasakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melibatkan golongan itu.

Katanya, mengenai stadium, sebaik sahaja BN diberi mandat mentadbir Selangor, kerajaannya akan membina kemudahan itu dan diserahkan kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengurusnya.

“Sekarang ini pasukan Merah Kuning tidak dapat menggunakan stadium sedia ada untuk berlatih. Mereka bagaikan pelarian di negeri sendiri.

“Saya berjanji, kalau BN Selangor menang, kita akan bina sebuah stadium baharu dan stadium ini kita serahkan kepada FAS untuk urus,” katanya di sini, semalam.

Begitu juga, katanya, mengenai kompleks belia yang dibina kerajaan BN sebelum ini di Seksyen 7 Shah Alam, sebaik Pakatan Rakyat (sekarang Pakatan Harapan) ambil alih kerajaan negeri, parti itu menyekat golongan belia beraktiviti.

Jelas Noh, sekali lagi belia di Selangor menjadi seperti pelarian apabila hak mereka untuk menggunakan segala kemudahan yang ada di kompleks itu dinafikan kerajaan sekarang.

“Kompleks belia ini kita buat dengan begitu besar dan cantik, tetapi akhirnya belia jadi pelarian dengan sendirinya kerana tidak ada tempat lagi untuk mereka menjalankan program,” katanya.

Manakala janji ketiga, ujar Noh ialah pembinaan kira-kira 6,000 unit rumah transit belia di atas tanah seluas lebih 600 ekar di Rawang.

Jelasnya, rumah itu lebih senang dilaksanakan kalau BN yang mentadbir Selangor pada PRU 14 ini, bagi mengelak beberapa halangan yang bakal berlaku jika PH terus memerintah negeri ini.

“Pembinaan 6,000 rumah transit belia ini lebih senang kita laksanakan kalau BN menang. Tapi kalau kita kalah mungkin ada halangan tertentu kita hadapi seperti syarat tukar tanah, premium tanah dan kebenaran merancang sebagaimana kita sedia maklum kompleks belia yang sudah lulus pun mereka (PH) boleh ambil balik.

“Janji kita yang keempat ialah membina pusat tranformasi usahawan (ETC) di seluruh negeri ini untuk membantu belia menjana sumber pendapatan dan ekonomi.

“Peringkat permulaan ini ETC kita mulakan di bangunan UMNO Selangor,” katanya sambil menjelaskan janji kelima ialah memperkasakan PBT di setiap Majlis Daerah dan Majlis Perbandaran.

Mengenai PBT, katanya, 75 peratus rakyat Selangor tinggal dalam bandar dan PBT harus memainkan peranan penting.

Kata Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, selain Ahli Majlis Daerah, kerajaan BN juga akan mewujudkan lapisan kedua iaitu Ahli Majlis Daerah Belia untuk golongan muda.

“Belia juga mesti diberi peranan bagaimana mereka hendak merancang kawasan PBT yang ada dalam Selangor, yang kita lihat mereka boleh merancang untuk diri mereka sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast