LIVERPOOL – Liverpool perlu menyediakan kontrak lumayan kira-kira £200,000 seminggu untuk mengelak Emre Can berhijrah ke Juventus.
Bintang antarabangsa Jerman yang akan tamat kontrak bersama the Kops pada akhir musim ini menarik perhatian Juventus dan Manchester City.
Can difahamkan akan menuntut gaji yang tinggi untuk kekal di Anfield memandangkan dia akan meninggalkan kelab itu tanpa yuran permindahan.
Can pernah menjadi pemain Pep Guardiola di Bayern Munich sebelum berpindah ke Bayer Leverkusen untuk tersenarai dalam pasukan utama.
Awal minggu ini Can mengakui dia berminat untuk beraksi di Sepanyol, Jerman atau Perancis.
“Saya mempunyai keyakinan diri untuk beraksi dengan kelab lebih besar musim hadapan dengan kualiti yang saya miliki.
“La Liga Sepanyol lagi menarik, begitu juga dengan Jerman yang menggunakan taktik berbeza.
“Saya tidak mahu terlepas sebarang peluang yang ada kerana belum pasti lagi apa nasib saya di akhir musim nanti,” katanya. – Agensi