PUTRAJAYA – Seorang doktor berjawatan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perlis yang disyaki menyalahgunakan kedudukannya dengan terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri itu hari ini.
Suspek berusia 44 tahun itu dipercayai telah meluluskan lesen perladangan unggas atas nama dua syarikat yang dikatakan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan.
Dalam kes berkenaan, pemilik syarikat tersebut yang berusia 39 tahun juga turut ditahan.
Menurut sumber, pengarah veterinar itu menerima suapan iaitu dengan menduduki rumah sewa milik pemilik syarikat tersebut tanpa membayar duit sewa sejak November 2016 hingga November 2017 yang jumlahnya dianggarkan sebanyak RM9,600.00.
Kedua-dua suspek telah ditahan di Ibu Pejabat SPRM Perlis ketika dipanggil untuk membantu siasatan sekitar pukul 1 petang.
Pengarah SPRM Perlis, Mohd. Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan tangkapan kedua dua suspek tersebut.
Katanya, doktor dan pemilik syarikat itu akan direman esok di mahkamah untuk membantu siasatan.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(b) (B) Akta SPRM 2009,” tegasnya. – MalaysiaGazette