KUALA LUMPUR – Briged Negaraku menyeru Barisan Nasional (BN) mengambilkira soal krisis yang akan berlaku sekiranya adanya pihak yang tidak berpuas hati kerana tidak tersenarai sebagai calon PRU-14.
Mereka mungkin bertindak diluar kawalan, kata Penaung Briged Negaraku, Datuk Zakarian Dullah.
Menurutnya, sifat itu tidak boleh dibenarkan berlaku kerana ia akan melemahkan jentera BN yang telah siap siaga untuk menghadapi pilihan raya umum.
Ini kerana jelas beliau, sudah mula adanya adu domba berlaku di bahagian-bahagian parti dan ada pula yang ‘meracuni’ pemikiran ahli-ahli parti.
“Tuduhan dilemparkan kepada ketua-ketua bahagian kononnya mereka tidak mencadangkan nama-nama mereka yang lain sedangkan ia tidak berlaku sedemikian.
“Saya yakin dan percaya setiap bahagian sudah diminta menamakan mereka-mereka yang dirasakan layak terutama ketua bahagian, timbalan dan naib bahagian juga ketua-ketua sayap serta lain-lain calon yang dirasakan perlu untuk dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zakarian berkata, semua ahli dan pemimpin sudah diberi peluang yang cukup untuk membuktikan mereka yang terbaik dalam kalangan yang baik pada peringkat kawasan masing-masing.
Ujarnya, Briged Negaraku berkeyakinan pucuk pimpinan mempunyai cukup masa iaitu hampir empat tahun untuk menguji kemampuan calon-calon sedia ada atau yang baharu serta menilai prestasi mereka sama ada perlu dikekalkan atau tidak.
“Bagi yang beragama Islam pastinya kamu perlu reda dengan ketentuan Allah dalam menentukan darjat seseorang.
“Begitu juga kemampuan parti yang lain semestinya mereka yang ikhlas dan lebih baik akan dipilih untuk mewakili parti di kawasan masing-masing,” katanya.
Zakarian turut menyeru ahli dan pemimpin BN menunaikan janji mereka kepada pucuk pimpinan masing-masing terutama kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak dalam memastikan calon-calon yang akan dipilih dan disenaraikan bagi mewakili parti dalam PRU-14.
“Sudah semestinya Pengerusi BN terlebih dahulu mengadakan perbincangan dan mendapat nasihat-nasihat serta pandangan daripada semua pihak termasuk pandangan ahli-ahli dan masyarakat di sesuatu kawasan tersebut.
“Berilah ruang yang secukupnya kepada Pengerusi BN untuk membuat keputusan demi kepentingan parti dan Negara.
Zakarian berkata, pada masa sama, setiap pemimpin dan ahli tidak perlu bimbang dan perlu berjiwa besar dengan apa juga keputusan yang akan dibuat nanti.
Ujarnya, ketua-ketua sayap parti juga masing-masing sudah pasti menyatakan cadangan mereka dan memberikan pandangan-pandangan yang bernas untuk diambil kira oleh Pengerusi BN bagi wakil-wakil mereka dipertimbangkan sebagai calon.
“Briged Negaraku akan terus melontarkan pandangan-pandangan yang perlu bagi membantu BN agar terus berada di landasan yang baik dalam terus diberi mandat memerintah Negara,” katanya. – MalaysiaGazette