Sebahagian warga tentera yang hadir pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Tentera Darat Kem Wardieburn di Kem Wardieburn, Setapak, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 27 MAC 2018.

KUALA LUMPUR  – Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan telah memperuntukkan 1.53 bilion unit saham bernilai RM1 seunit menerusi skim pelaburan khas, Amanah Saham Zulu yang diperuntukkan bagi anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebanyak dua kategori diperkenalkan untuk anggota serta veteran berstatus bumiputera dan bukan bumiputera.

Jelasnya, Amanah Saham Bumiputera Zulu (ASB-Z) dikhususkan kepada anggota dan veteran ATM bumiputera manakala Amanah Saham 1Malaysia Zulu (AS1M-Z) diperuntukan kepada bukan bumiputera dilaksanakan menerusi kerjasama Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB).

“Melalui ASB-Z ini, PNB telah memperuntukkan 1.5 bilion unit saham iaitu satu bilion unit untuk anggota ATM dan 500 juta unit kepada veterannya. Bagi AS1M-Z pula sebanyak 30 juta unit saham diperuntukkan.

“Kedua-dua skim pelaburan ini diwujudkan bertujuan memupuk budaya melabur dalam kalangan anggota dan veteran ATM selain membantu mereka naik taraf ekonomi serta kehidupan mereka.

“Kita sentiasa mendengar dan mahu berikan apa yang terbaik kepada mereka yang telah banyak memberi sumbangan kepada negara selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Ramah Mesra Bersama Warga 4 Divisyen di Kem Wardieburn, Setapak di sini, hari ini.

Antara yang turut hadir ialah Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Zakaria Yadi dan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr. Mohd. Shafei Abdullah.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Semborong berkata, skim berkenaan menawarkan pelbagai kelebihan berbanding skim biasa antaranya nilai pelaburan digandakan dan tempoh pelaburan yang fleksibel iaitu untuk tempoh lima tahun atau 10 tahun.

“ASB-Z dan AS1M-Z hanyalah sebahagian daripada pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan kebajikan anggota dan veteran ATM terus terpelihara.

“Saya amat berharap agar kedua-dua inisiatif yang dilaksanakan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh anggota serta veteran ATM khasnya untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka.

“Ini juga sememangnya impian besar saya selama ini bagi membela kebajikan anggota, veteran ATM dan keluarga mereka,” ujarnya.

Berikut adalah kelebihan kim ASB-Z dan AS1M-Z berbanding ASB dan AS1M:

  1. Nilai pelaburan akan digandakan oleh BMMB melalui satu skim pelaburan khas. Ia merupakan pelaburan yang kompetetif bagi membolehkan pelabur menikmati pulangan yang lebih tinggi berbanding skim pelaburan ASB dan AS1M biasa.
  2. Mempunyai tempoh pelaburan flesibel yang mana pelabur diberi pilihan untuk melabur dalam jangka masa pendek (5 tahun) atau jangka masa panjang (10 tahun). – MalaysiaGazette