GUANGZHOU – Alibaba Group dan pembuat kereta Amerika Syarikat, Ford melancarkan mesin layan diri bagi penjualan kereta di sebuah bandar di selatan China, Guangzhou.
Mesin setinggi bangunan lima tingkat itu mengandungi 42 buah kereta pelbagai model termasuk Ford Exploree SUV dan Mustang.
Menurut Alibaba, pengguna Tmall iaitu platform pembelian dalam talian yang dihasilkan kumpulan itu, boleh membeli kenderaan Ford tanpa bantuan manusia di mesin tersebut dalam tempoh 10 minit.
Bagaimanapun, mereka masih perlu memiliki skor kredit yang baik sebelum mendapat kelulusan untuk pembelian.
Syarikat memilih model aplikasi mudah alih Alibaba, Taobao yang mana memerlukan pelanggan mengimbas wajah mereka menggunakan aplikasi tersebut dan apabila tiba di mesin berkenaan, ia akan mengesahkan identiti pembeli sebelum kenderaan dihantar.
Mesin layan diri itu akan dibuka kepada orang awam bermula Isnin sehingga 23 April nanti.
Pembeli akan diberi peluang untuk menguji pandu kenderaan tersebut selama tiga hari sebelum mereka membuat sebarang pembelian.
Mesin sedemikian turut dirancang untuk dipasang di Beijing dan Hangzhou.
“Pendaftaran dilakukan sepenuhnya secara mudah alih di Tmall atau aplikasi Taobao,” kata Pengurus Besar Kenderaan Tmall Auto, Gu Wanguo.
Apabila sesebuah kenderaan itu telah dipilih, pembeli perlu merakam sekeping gambar swafoto bagi memastikan hanya mereka sahaja yang boleh mengambil kenderaan berkenaan sebelum membuat pembayaran deposit secara elektronik dan memilih jadual pengambilan kenderaan.
Semuanya dilakukan menerusi aplikasi berkenaan sahaja.
Tambah Wanguo, bagi mesin di Guangzhou, para pembeli boleh memilih sebuah kereta lain sekiranya tidak berpuas hati dengan pilihan sebelumnya.
Ford dan Alibaba menandatangani kerjasama selama tiga tahun akhir tahun lepas yang membolehkan pengeluar kenderaan Amerika Syarikat itu meneroka pelbagai peluang peruncitan baharu daripada pra-jualan, uji pandu serta pilihan pajakan menerusi Tmall.
Gergasi e-dagang itu tidak asing di dalam penjualan kenderaan melalui dalam talian dan aplikasi mudah alih.
Pada 2016, sejumlah 100 kereta Maserati dijual dalam tempoh 18 saat menerusi jualan kilat di Tmall. – Agensi