David de Gea memberi isyarat jelas dia tidak akan melayan tawaran Real Madrid dan akan terus kekal di Old Trafford untuk tempoh lebih lama mencapai legasi.- The Sun

SEPANYOL – David de Gea memberi isyarat jelas dia akan kekal di Old Trafford dalam tempoh agak panjang walaupun menerima tawaran Real Madrid.

Bintang the Red Devils itu berjaya membangunkan dirinya sebagai antara penjaga gol terbaik dunia menerusi aksi luar biasa beberapa musim kebelakangan ini.

Juara berganda Eropah Real Madrid berhasrat untuk mencuba nasib meletakkan tawaran serius untuk khidmat pemain antarabangsa Sepanyol itu.

Namun de Gea tidak kelihatan berminat untuk berhijrah ke Santiago Bernabeu musim depan.

Pasukan gergasi Eropah itu telah beberapa kali cuba memujuk pemain antarabangsa Sepanyol berusia 27 tahun itu.

Tetapi perkembangan terbaru di Old Trafford menunjukkan de Gea sudah sebati dengan kehidupan di England selain menikmati tanda hormat yang diberikan penyokong setia kelab itu.

Bercakap kepada pemberita ketika bersiap untuk aksi persahabatan bertemu Argentina, De Gea memberi isyarat jelas dia tidak berminat untuk berpindah ke Real.

“Saya mempunyai rasa cinta yang akrab dengan England dan penyokong yang sentiasa bersalam dan menghormati saya,” katanya.

De Gea difahamkan sedang terlibat dalam perbincangan mendalam dengan kelab untuk menandatangani kontrak berjangka panjang yang akan mengukuhkan lagi kedudukanya sebagai penjaga gol terbaik dunia.

Ia sekali gus mengenepikan segala spekulasi yang mengaitkan pemain itu dengan Real Madrid yang begitu terdesak mencari penjaga gol terbaik untuk menguatkan gawang gol di Santiago Bernabeu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast