SHAH ALAM – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor tidak yakin Barisan Nasional (BN) boleh menghapuskan caj 20 sen yang dikenakan bagi beg plastik di pusat beli belah sekiranya parti itu menang dan memerintah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).
Ini kerana, dakwa Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, kerajaan BN akan menjadikan perolehan itu sebagai sumber atau punca pendapatannya.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak yakin BN dapat menawan Selangor pada PRU ini dengan umpan untuk menghapuskan caj 20 sen itu.
“Pengundi tidak mudah dibeli dengan harga 20 sen,” katanya pada Persidangan Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Yang Ketiga Belas Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Beliau membidas soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak yang ketika itu mencelah menyatakan Exco berkenaan salah faham dengan usaha BN berhubung caj beg plastik.
Ketika mencelah, Sulaiman memberitahu, beliau mahu menjawab celahan ADUN Kota Anggerik, Yaakob Sapari yang mendakwa, mustahil BN akan menghapuskan caj 20 sen yang dikenakan bagi satu beg plastik.
Menurut Sulaiman, BN hanya mencadangkan akan memberi 20 sen kepada pelanggan yang membawa beg sendiri.
“Nampaknya Kota Anggerik tidur… bukan plastik percuma… kita nak tukar iaitu siapa bawa beg sendiri akan diberi 20 sen, bukan nak hapuskan,” katanya.
Elizabeth yang tidak berpuas hati dengan jawapan ADUN Permatang itu, cuba membela Yaakob dengan mengatakan ADUN Kota Anggerik tidak tidur, sebaliknya ada dalam dewan itu.
“Dia (Yaakob) tidak tidur, ada dalam dewan ini. Cuma saya tak ada halangan BN nak buat, tapi buat dulu di negeri yang BN memerintah. Kalau bagus (berjaya), kita (kerajaan Selangor) akan kaji pengenaan caj 20 sen satu beg plastik,” katanya. – MalaysiaGazette