Nasharudin Mat Isa. foto NOOR ASREKZAIREY SALIM, 09 DISEMBER 2016.

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 merupakan langkah terbaik dalam menyekat fahaman ekstremisme yang boleh mengugat keamanan dan keharmonian negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF), Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa menyifatkan undang-undang baharu itu akan menjadi mekanisma terbaik dalam membendung fahaman ekstremisme daripada terus berkembang selain boleh mencegahnya daripada terus menjadi serius.

“Undang-undang Antiberita boleh menjadi alat yang efektif dalam menangani ekstremisme.

“Ia akan menjadi mekanisma berguna dalam peperangan untuk mencegah ekstremisme khususnya platform media sosial yang sering digunakan untuk merekrut ahli-ahli penganas,” kata beliau.

Nasharudin menyatakan demikian semasa ditemui media selepas Simposium Antarabangsa Kesederhanaan Masyarakat Dalam Agama: Menuju Keamanan dan Keharmonian di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini hari ini.

Simposium anjuran bersama GMMF itu bertujuan membincangkan peranan agama dan pendekatan kesederhanaan dalam mempromosi keamanan dan memelihara keharmonian.

RUU Antiberita Tidak Benar 2018 dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

RUU tersebut memperuntukkan denda maksimum sehingga RM500,000 atau 10 tahun penjara terhadap individu yang mengadakan, menawarkan dan menerbitkan berita atau penerbitan yang mengandungi berita tidak benar jika disabitkan kesalahan.

Denda tidak melebihi RM3,000 bagi tiap-tiap hari selama kesalahan itu dikenakan kepada pesalah tersebut jika ia dilakukan secara berterusan.

Manakala denda sehingga RM100,000 juga boleh dikenakan terhadap individu atau pihak yang memiliki berita tidak benar dan tidak menghapuskannya.

Mahkamah juga boleh memerintah pesalah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak yang terlibat sama ada di mahkamah ataupun melalui akhbar.

Malah RUU ini tidak hanya terhad kepada rakyat Malaysia, bahkan ia turut terpakai kepada warga asing yang menyebarkan berita tidak benar mengenai negara atau menyentuh rakyat negara ini. – MalaysiaGazette