KUALA LUMPUR – Penjara Tanpa Tembok – mungkin masyarakat di negara ini masih kurang terdedah dengan istilah ini berbanding kefahaman mereka tentang gambaran biasa fizikal penjara yang dibatasi tembok batu bagi menempatkan pesalah untuk menjalani hukuman.
Sejak sejarah moden Jabatan Penjara Malaysia bermula tahun 1790 di Kota Cornwallis Pulau Pinang, tahun ini genaplah 228 tahun usianya diwarnai dengan pelbagai transformasi yang banyak mengubah landskap sistem kepenjaraan di negara ini.
Setelah lebih dua abad, Jabatan Penjara terus memainkan peranan penting dan tanggungjawabnya bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan negara.
Program Pemulihan Luar Tembok Penjara (28 Februari 2018)
Program | Tahun Mula | Jumlah Semasa | Jumlah Tamat Program | Residivis semasa | |
1 | Sistem Parol | 2008 | 853 | 19,661 |
0.48%
|
2 |
Perintah Kehadiran Wajib
|
2010 | 99 | 3,850 | Tiada |
3 | Rumah Perantaraan | 2010 | 135 | 3,485 |
Tiada
|
4 |
Program Pemulihan Pemasyarakatan
|
2011 | 1,621 | 6,621 | 0.42% |
Pemulihan di luar tembok penjara mula diperkenalkan pada tahun 2008 menerusi Sistem Parol seterusnya berkembang menerusi Perkhidmatan Rumah Perantaraan, Perintah Kehadiran Wajib dan Program Pemulihan Pemasyarakatan.
Sejak dilaksanakan, seramai lebih 33,000 banduan telah berjaya mengikuti bagi empat program berkenaan.
Kejayaan pemulihan di luar tembok penjara terbukti dengan kadar residivis (banduan yang mengulangi jenayah serupa) rendah iaitu di bawah 0.5 peratus.
Residivis yang rendah adalah berhubung kait dengan keberkesanan program pemulihan yang diberikan kepada banduan bermula dengan bimbingan dan pembentukan disiplin diri, latihan kemahiran sehinggalah integrasi semula banduan bersama masyarakat.
Program pemulihan di dalam penjara adalah asas kepada kejayaan pemulihan di luar tembok penjara.
Program Pembangunan Insan (PPI) menerusi empat fasa pemulihan iaitu fasa orientasi, fasa pengukuhan sahsiah, fasa kemahiran dan fasa reintegrasi dapat membentuk jati diri serta tingkah laku yang menjadi permulaan penting bagi seseorang banduan untuk berubah.
Banduan dibimbing dan dibentuk semula sahsiah dirinya agar dapat menjadi benteng kepada kekuatan dalaman mereka berhadapan dengan cabaran dunia luar setelah mereka dibebaskan.
Selaras dengan perancangan Jabatan Penjara untuk memastikan dua pertiga (2/3) banduan menjalani program pemulihan di luar tembok penjara menjelang tahun 2030, integrasi banduan bersama masyarakat menjadi benteng kepada banduan untuk tidak mengulangi kesalahan.
Manfaat yang besar diperolehi dalam program pemulihan di luar tembok penjara apabila penglibatan keluarga dan masyarakat menjadi faktor penting dalam membantu membawa perubahan positif kepada banduan, jenayah dan kos penahanan mereka di penjara dapat dikurangkan.
Sokongan masyarakat dapat mengukuhkan kekuatan dalaman banduan untuk terus berubah menjadi insan yang lebih baik, berdisiplin dan menjalani kehidupan normal dalam masyarakat.
Menerusi pendedahan awal bersama masyarakat, banduan perlu menyertai program intervensi dengan melibatkan diri dengan aktiviti gotong-royong, kenduri, ceramah dan sebagainya yang melibatkan pergaulan bersama masyarakat agar mereka tidak merasa tersisih.
Penerimaan positif masyarakat tanpa stigma banyak membantu merapatkan kembali hubungan baik banduan mahupun bekas banduan bersama masyarakat.
Faktor pekerjaan amatlah penting untuk bekas banduan meneruskan kehidupan selepas dibebaskan agar tidak dengan adanya pendapatan mereka tidak kembali terjebak dengan jenayah.
Memandangkan banduan telah diberi kemahiran vokasional bersijil semasa di dalam penjara, mereka lebih mudah bersaing dalam pasaran pekerjaan apabila memasuki fasa reintegrasi.
Sebagai contoh, banduan yang diluluskan menjalani Perintah Parol akan dibantu oleh Pegawai Penjara untuk mencari pekerjaan ataupun jika mereka mahu bekerja sendiri.
Pegawai Penjara turut mengatur sesi temuduga di kalangan Orang Diselia (ODS) yang mengikuti Program Pemulihan Pemasyarakatan bersama pihak swasta.
Pada tahun ini, genap 10 tahun pelaksanaan Sistem Parol yang ternyata memberi impak yang tinggi dalam pemulihan banduan.
Sistem Parol yang telah diperluaskan menerusi Corporate Smart Internship (CSI) melibatkan kerjasama Jabatan Penjara bersama pihak swasta dalam skala yang besar mula menunjukkan perkembangan memberangsangkan walaupun baru sahaja dilaksanakan.
Menerusi CSI, ODP diberi latihan kerjaya menerusi pembelajaran teori dan amali dalam sektor perladangan, pembuatan, perindustrian dan perkhidmatan.
Kerjasama antara Jabatan Penjara dan pihak swasta berkenaan meliputi kemudahan penempatan, latihan secara teori dan amali dalam sektor berkaitan dan peluang banduan untuk maju dalam pekerjaan yang diceburi.
Di tahun pertama program ini diperkenalkan pada 2017 lalu, seramai 576 Orang Di Parol (ODP) telah menjalani program ini melibatkan empat buah syarikat swasta.
Jumlah ini dijangka bertambah pada tahun ini memandangkan manfaat yang diperolehi mampu menyumbang kepada pengurangan kemasukan semula banduan ke dalam penjara.
Memandangkan program CSI banyak memberi manfaat bukan sahaja kepada banduan, malah kesannya dapat dirasai oleh keluarga dan masyarakat yang akhirnya menyumbang kepada keamanan dan pembangunan negara.
Sungguhpun pelbagai program pemulihan yang diberikan kepada banduan, ianya bukanlah satu keistimewaan yang diberikan kepada mereka sebaliknya ia adalah sebagai satu usaha Jabatan Penjara memastikan banduan benar-benar pulih dan mampu diintegrasikan dengan lebih sempurna ke dalam masyarakat.
Di sebalik kejayaan program-program pemulihan yang dilaksanakan Jabatan Penjara, terdapat peranan besar masyarakat dan pelbagai pihak tertentu yang menjayakannya.
Banduan adalah insan biasa yang tidak terlepas melakukan kesalahan dan telah menerima hukuman khususnya hilangnya hak kebebasan sepanjang menjalani hukuman di penjara.
Kepulangan mereka ke pangkuan keluarga dan masyarakat sudah tentu untuk memulakan kehidupan baru lebih sempurna dan menjadikan pengalaman semasa di penjara sebagai iktibar yang tidak akan diulangi.-MalaysiaGazette