KUALA LUMPUR – Laporan Kajian Persempadanan Semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sepatutnya dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pukul 11.30 pagi tertangguh apabila Ahli Parlimen pembangkang membuat kecoh untuk melengahlengahkan.
Antaranya Anifah Maidin (PAN- SepanG) dan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago (DAP-Klang) bangun mencelah meminta penjelasan Tan Sri Pandikar Amin Mulia bahawa pembentangan laporan persempadanan semula sebagai melanggar undang-undang masih belum dijawab oleh Speaker Dewan Rakyat itu.
Pandikar menjelaskan, beliau mengguna pakai peraturan Mesyuarat 8, 9, 10 dan 11 yang tidak memerlukan campur tangan mahkamah kerana penentuan usul dan kelulusannya bergantung kepada wakil rakyat.
Pandikar kemudian memberi amaran kepada mereka supaya tidak melengah-lengahkan masa untuk mengganggu pembentangan Rang Undang-Undang Kajian Persempadanan Semula itu dan memberi peringatan akan mengambil tindakan di bawah peraturan Mesyuarat 42.
“Selagi saya tidak panggil ahli-ahli yang berhormat tidak boleh bangun. Saya tidak akan teragak-agak untuk menggunakan Peraturan Mesyuarat 42,” katanya.
Namun Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) yang tidak mengendahkan arahan Pandikar bangun mencelah dan meminta penjelasan kenapa hendak membenarkan usul persempadanan semula itu dibentangkan sebelum mendakwa BN sebagai penipu, hipokrit dan pencuri.
Pandikar yang mula hilang sabar akhirnya menggunakan peraturan Mesyuara 44(3) untuk mengarahkan Kit Siang keluar dewan.
“Saya mengarahkan Gelang Patah untuk keluar dewan dan mesyuarat akan ditangguhkan sementara.
“Selepas saya balik semula ke dewan, dan mendapati jika Gelang Patah masih enggan keluar maka Dewan Rakyat terpaksa mengangkat beliau keluar dewan kerana enggan mematuhi peraturan,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said membaca usul menggantung Kit Siag kerana ingkar arahan Speaker dan disokong Datuk Seri Razali Ibrahim (BN-Muar).
Pandikar kemudian menangguhkan Dewan Rakyat buat sementara waktu. – MalaysiaGazette