T. Gertrude.

KUALA LUMPUR – Pendedahan penderitaan isteri kepada mendiang T. Thangaratnam yang koma sebelum meninggal dunia di Dubai pada 5 Februari lepas oleh Malaysia Gazette mendapat perhatian MIC dan Kementerian Luar.

Malah kedua-dua pihak itu membantu membawa pulang mayat lelaki berkenaan dalam tempoh kurang seminggu selepas berita mengenainya disiarkan portal ini.

T. Gertrude yang sebelum ini menghabiskan masa hampir lebih dua bulan cuba mendapatkan bantuan daripada pelbagai pihak membantunya membawa pulang mayat mendiang gagal sehingga sidang media anjuran Pertubuhan Perkhidmatan Rakyat Malaysia (PPRM) minggu lepas.

MIC melalui Bendahari Agungnya, Datuk Seri S. Vell Paari segera tampil membantu wanita malang itu.

Thangaratnam merupakan ibu tunggal kepada dua orang anak  tidak mampu menampung kos penghantaran mayat mendiang.

Vell Paari kemudian mengadakan pertemuan dengan beberapa pegawai dari Kementerian Luar bersama wakil Malaysia Gazette pada Jumaat lepas dan mendapat penjelasan mengenai prosedur, status kos hospital serta penghantaran.

Selain Vell Paari turut hadir pada pertemuan itu Presiden PPRM, Datuk P. Gunaseelan, Ketua Puteri MIC Kebangsaan, Guna Sundari dan Gertrude sendiri.

Sejurus selepas pertemuan itu, Vell Paari berjaya mengutip sumbangan sebanyak RM139,087.19 seperti yang diperlukan bagi mnampung kos perubatan sebanyak RM112,480.29 dan kos membawa balik mayat sebanyak RM26,606.90.

Menurut Vell Paari, sebahagian sumbangan itu termasuk daripada Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam dan bapanya, Tun S. Samy Vellu serta beberapa individu lain.

“Saya hanya mengetahui tentang perkara ini pada Selasa lepas, saya nampak penderitaan wanita ini yang terpaksa menanggung kesakitan mencari jalan untuk membawa balik mayat suaminya. Saya mengambil keputusan untuk menyiasat dan mencari jalan penyelesaian.

“Saya bersyukur apabila ramai tampil membantu sejurus selepas itu, dari Kementerian Luar, Presiden MIC, media dan tidak lupa juga kepada Gunaseelan yang bertindak untuk mendedahkan penderitaan wanita ini.

“Ada juga pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memanipulasi perkara ini, ada juga yang cuba mengambil kesempatan. Pada saya, semua itu tidak penting.

“Yang penting, apakah jenis jalan penyelesaian yang cepat kita boleh berikan kepada Gertrude, itu sahaja.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada Setiausaha Akhbar Menteri Luar, Datin Seri Nirvana Jalil kerana membantu mengadakan pertemuan ini, tidak lupa juga kepada Malaysia Gazette,” katanya.

Tambah Vell Paari, proses untuk membawa balik mayat mendiang Thangaratnam akan mengambil masa beberapa hari memandangkan beberapa prosuder perlu dilakukan terlebih dahulu.

“Saya juga akan membantu dengan tiket penerbangan seandainya Gertrude mahu ke Dubai sendiri untuk membawa pulang mayat mendiang, kita boleh usahakan perkara itu juga.

“Pada masa yang sama, saya mohon kepada semua di luar sana termasuk yang selama ini telah bersama wanita itu dalam perjuangan beliau, kita doakan yang terbaik. Cukuplah, kita jangan bercakap perkara lain,” tegasnya.

Sebelum ini Gertrude memohon agar masyarakat sudi tampil membantu membawa pulang mayat mendiang suaminya ‘tersekat’ di hospital tersebut kerana kos perubatan kini sudah mencecah hampir RM150,000.

Mendiang Thangaratnam yang berhijrah ke Dubai untuk mencari peluang perniagaan lapan bulan lepas jatuh sakit dan koma pada Januari tahun ini sebelum diisytihar meninggal dunia.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Out of curiosity, I would like to know why she was not helped when she approached MIC with regards her husband before and after her husband’s death. Tq

Comments are closed.