KUALA LUMPUR – Pengundi Cina di Sabah boleh membawa pengaruh undi Sabah walaupun bukan majoriti, kata penganalisis politik, Lee Kuok Tiung.

Pensyarah Kanan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah, Dr. Lee Kuok Tiong berkata, walaupun kaum tersebut  tidak ramai di Negeri Di Bawah Bayu itu namun mampu membantu parti yang disokong meraih sokongan secara tidak langsung.

“Cina tetap ‘king makers’. Walaupun Cina tidak banyak tetapi mereka bawa pengaruh besar apabila yang ada di sana berpengaruh dan menyebarkan pengaruh mereka mengikut kehendak mereka secara keseluruhannya,” katanya kepada Malaysiagazette semalam.

Tambah Kuok Tiung, perpecahan pengundi daripada Kadazan Murut selepas Pilihan Raya Umum Ke-10  pada tahun 1999 ekoran pembubaran Parti Demokratik Sabah yang sehingga kini masih berlanjutan menyebabkan undi Barisan Nasional (BN) daripada etnik itu tidak konsisten khususnya Bumiputera bukan Islam.

Berbeza dengan bumiputera Islam pada pandangannya yang masih utuh menyokong BN dan komponennya di negeri itu.

“Sabah ramai Kadazan Murut mereka majoriti sebelum tahun 1999 pilihan raya waktu itu, komposisi Sabah sudah berubah.

“Kadazan Murut di Sabah terbahagi kepada bumiputera Islam dan bukan Islam tapi kebanyakannya adalah Kristian.

“Bumiputera (Melayu Islam) tetap penyokong UMNO. Hanya bukan Islam sahaja yang semakin berpecah kepada banyak parti-parti lain dan pembangkang,” tambah beliau.-MalaysiaGazette