KUALA LUMPUR – Anak Timbalan Perdana Menteri tidak berhasrat untuk menawarkan diri menjadi calon Barisan Nasional pada PRU-14.
Datuk Nurul Hidayah berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau ingin mengulangi hasratnya yang pernah menawarkan diri pada PRK Kajang ketika berentap dengan calon PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
“Saya tak mahu tawar diri lagi. Dulu PRK Kajang saya ada tawar diri kerana bagi saya daripada biar orang luar (Wan Azizah) biarlah saya yang jadi calon di Kajang, sebab saya tinggal lama di situ,” katanya.
Beliau yang juga penaung Pertubuhan Jaringan Pakar Berjaya berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menutup Program Satu Keluarga Satu Usahawan 2.0 (1KiU 2.0) kepada usahawan desa Bagan Datuk, di sini hari ini.
Menurut Nurul Hidayah lagi semasa berura-ura mahu menjadi calon PRK Kajang, hasratnya itu disampaikan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu merupakan timbalan presiden UMNO tanpa pengetahuan bapanya sendiri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Kalau saya nak jadi calon lagi mungkin selepas pilihan raya kali inilah (PRU-14),” selorohnya.
Beliau mengakui darah yang mengalir pada dirinya ‘darah orang politik’.
Apapun katanya, misi yang dilakukan menerusi NGO ketika ini lebih meluas daripada tugas seorang wakil rakyat.
“Kalau wakil rakyat dia hanya jaga kawasannya saja. Tapi apa yang saya buat sekarang ini dapat tolong orang seluruh negara,” ujarnya.
Pada majlis itu, seramai 20 peserta dalam kalangan belia dan usahawan kecil-kecilan dari Bagan Datuk menamatkan kursus teknik perniagaan Online yang berlangsung selama empat hari.
Program itu diadakan bagi menyahut seruan Ahmad Zahid yang mahu melihat satu usahawan dilahirkan dalam setiap keluarga di negara ini. – MalaysiaGazette