Najib Razak

PEKAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berazam menjadikan legasi Allahyarham ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein memperjuangkan nasib masyarakat luar bandar termasuk golongan peneroka sebagai landasan perjuangannya memerintah negara.

Menurut Najib, beliau ingin meneruskan legasi itu secara menyeluruh kerana Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sendiri amat dekat di hati ayahandanya.

“Belum ada pemimpin di negara ini yang mempunyai rumah model peneroka di hadapan rumahnya sendiri di Seri Taman, malah sebelum meninggal, Allahyarham sempat berpesan supaya model rumah peneroka itu mesti kekal untuk mengingatkan semua pihak termasuk saya bahawa Felda dan pembangunan luar bandar adalah asas perjuangan Tun Abdul Razak.

“Oleh itu sebagai generasi terkemudian, wajib bagi kita meneruskan perjuangannya, saya tahu bukan sahaja kita patut doakan rohnya, tetapi beliau juga mahukan perjuangan yang telah diasaskan sebelum ini tidak mati dan tidak terkubur.

“Sebaliknya terus membara sehingga hari ini dan pada masa akan datang dan untuk ini kita perlu merancangkan program tambahan kerana dunia kini telah berubah, dunia 60an dan 70an tidak sama dengan dunia hari ini.

“Keadaan sekitar mungkin berubah, tetapi semangat dan nilai perjuangan kita tidak berubah sedikit pun…sebaliknya kita jadikan itu sebagai azimat untuk terus dihayati dan teruskan perjuangannya, ” katanya ketika berucap merasmikan progam Jimat Belanja Dapur peringkat Kebangsaan di Padang Awam, Bandar Dara Chini di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Fama Tan Sri Badruddin Amiruldin, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif dan Pengerusi Hal Ehwal Felda Negeri Datuk Seri Abu Bakar Harun.

Untuk terus membela nasib masayarakat Felda, katanya, kerajaan menjalin hubungan baik dengan kerajaan China dan India untuk memasarkan hasil minyak sawit negara.

“Kalau China membeli RM1.3 bilion nilai minyak sawit, India RM1 billion, harga minyak sawit akan terus naik dan siapa yang senang…sudah tentu masyarakat Felda kerana mempunyai pendapatan yang lebih.

“Tetapi kalau dengar kata pembangkang apa sahaja yang kita lakukan, dia nak batalkan kontrak dengan negara China dan kalau berbuat demikian negara itu tidak akan membeli lagi minyak sawit daripada Malaysia.

“Jika perkara itu berlaku, harga minyak sawit akan turun dan apabila turun menggelupurlah peneroka semua. Tetapi di bawah pimpinan saya, kerajaan akan teruskan perjuangan ini dan kerana itu kita perlu terus menyokong kerajaan BN,” kata perdana menteri.

Najib yang juga anggota Parlimen Pekan berkata, keadaan itu jauh berbeza dengan seorang pemimpin �ranum´ yang pernah memerintah negara sebelum ini yang tidak pernah memikirkan tentang nasib masyarakat luar bandar.

“Saya dah kerja lama di bawah beliau, jadi saya tahu perangainya…saya boleh baca satu persatu, dia tidak pernah berhasrat untuk bantu orang luar bandar, bukan nak cakap tetapi apa yang saya lakukan pada masa kini jauh lebih baik daripada pemimpin berkenaan.

Berdasarkan rekod, golongan peneroka, kita bagi lebih insentif, begitu juga dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda saya beri peruntukan RM2.7 bilion bagi tempoh 2011 hingga 2020 untuk membangunkan sistem pengairan.

Malah tidak pernah dalam sejarah, pesawah dapat bayaran bulanan RM200 sebulan bagi tempoh tiga bulan sementara menunggu hasil tuaian padi, malah nelayan juga dapat insentif,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast