Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani tidak tahu bila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan tarikh pilihanraya.

Cuma, katanya, sama-samalah tunggu bila Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) mengumumkannya nanti kerana sudah ada tanda-tanda atau ke arah itu.

“Tunggulah PM (Perdana Menteri) umum… PM dah bagi klu… kita tunggulah beliau buat pengumuman. Saya pun tak tahu bila, saya kena tunggu beliau umum,” katanya kepada pemberita selepas merasmi penutup Ekspo Juala Perumahan Edisi Nasional di Dewan Tun Abdul Razak I di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Ditanya mengenai kain rentang yang dipasang pihak tertentu, dipercayai pembangkang yang tertera perkataan, “Rakyat tidak mahu Dato’ Jo”, beliau berkata, kempen seperti itu sudah menjadi perkara biasa dalam politik.

“Biasalah dalam politik ni. Kalau kita tengok apa yang dia orang bantai Datuk Najib dan bantai menteri-menteri ni biasa dalam politik.

“Dalam politik ni mana ada orang yang dapat seratus peratus sokongan, tak ada. Tapi berkempen mengatakan Datuk Johari tak nak, ini bukan dari dia orang yang buat keputusan.

“Kita tunggu keputusan dari pengundi kerana mereka ini yang menentukan pemimpin mana yang mereka kehendaki,” katanya.

Johari yang juga Menteri Kewangan II berkata, pembangkang atau musuhnya tidak boleh memberi jaminan mana-mana pemimpin kekal di tempat itu kerana yang dapat memberi jaminan ialah pengundi di kawasan berkenaan.

“Jadi, kita tunggu PRU… kita tengok (siapa menang, siapa kalah). Mungkin mereka (pembangkang) tidak tahan tunggu PRU sebab itu mereka gantung poster,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast