Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Program Bertemu Rakyat di Pekan Pendang Kedah hari ini.

PENDANG – Barisan Nasional (BN) mahu mempertahankan Kedah daripada terlepas sekali lagi kepada tangan pembangkang seperti yang berlaku semasa pilihan raya umum ke-12 lalu dan jentera parti perlu bekerja bersungguh-sungguh, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata BN sayang Negeri Jelapang Padi malah beliau sendiri sudah tiga kali turun dalam program yang diadakan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga kerap berkunjung untuk berjumpa dengan pimpinan kerajaan negeri dan rakyat jelata disini.

“Bila kita sayang sesebuah negeri, ertinya kita tidak mahu Kedah terlepas sekali lagi kepada orang lain kerana kita sudah melakukan yang terbaik… Orang lain sebelum itu dan orang lain selepas itu,” kata beliau semasa Program Bertemu Rakyat di Pekan Pendang hari ini.

Beliau menggesa supaya jentera parti bekerja dan berkempen secara berhemah dan tidak menyentuh keburukan mahu pun kelemahan pihak lawan sebaliknya menerangkan kepada orang ramai mengenai rancangan pembangunan serta kemajuan yang mahu dibawa BN di Kedah.

“Kaedah kita berkempen, ertinya jika mahu ajak berdakwa menyeru ada dua elemen, harus ada kebijaksanaan dan ketatasusilaan.

“Kita tak payah sentuh keburukan orang lain, tak payah sentuh kelemahan orang lain… Kita cerita apa yang kita telah lakukan dan apa yang kita akan lakukan, ini konsep model BN,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Zahid juga mengingatkan supaya pemimpin parti tidak bersengketa satu sama lain dan perlu bersatu padu jika mahu memenangkan BN di Kedah.

“Itu lah sebabnya kita kena mengingatkan sesama kita… Apabila kita bersengketa sesama sendiri, bukan kerana musuh kita kuat diluar tetapi kita lemah kita seperti seladang tanduk bercabang tapi bila berjumpa mesti nak berlaga,” ujarnya.

Beliau juga mahu siapa pun calon yang dipilih oleh Perdana Menteri mereka perlu menyokongnya dan tidak melanggar disiplin parti dengan mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan.

“Siapa pun yang ditentukan oleh Perdana Menteri selaku Pengerusi Barisan Nasional untuk jadi Menteri Besar Kedah itu lah orang kita sokong.

“Siapa pun calon ditentukan oleh Pengerusi BN, itu lah yang kita nak sokong,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette