KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) melancarkan laman sesawang rasmi parti itu semalam dengan wajah baru bagi memberi maklumat terkini dan tepat kepada rakyat.
Setiausaha BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, laman sesawang yang boleh dilayari melalui www.barisannasional.org.my telah dikemaskini dengan reka bentuk menarik bagi memberi pengalaman pengguna yang lebih memuaskan untuk rakyat.
“Sukacita dimaklumkan bahawa laman sesawang rasmi BN iaitu www.barisannasional.org.my yang berwajah baharu dengan pengisian baharu dilancarkan secara rasminya pada Isnin semalam,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Menurutnya, turut dimuatnaik dalam laman itu ialah maklumat terkini dan lebih menarik lagi merangkumi enam bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil, Iban dan Dusun.
“Laman sesawang ini dilengkapi dengan ruangan khas “Bantuan Kerajaan” yang menyenaraikan lebih daripada 200 bantuan yang telah disalurkan kepada setiap kelompok masyarakat.
“Ruangan khas “Janji Ditepati” pula dilengkapi dengan pencapaian 99.4 peratus Manifesto BN yang dijanjikan sempena PRU ke-13,” katanya.
Selain itu, kata Tengku Adnan, laman itu juga menyediakan ruangan “Pencapaian Negara” dan “Kedudukan Dunia” yang menyenaraikan pencapaian negara dalam pelbagai aspek.
Laman ini jelas beliau, turut dilengkapi dengan ruangan “Saya Nak” iaitu khusus untuk memudahkan rakyat yang berhasrat untuk mencari lokasi perkhidmatan disediakan oleh kerajaan dan agensi.
“Ibu pejabat BN ingin mempelawa semua untuk melayari laman sesawang baharu BN ini dan diharapkan ia dapat memanfaatkan semua,” katanya. – MalaysiaGazette