KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz didakwa menjadi punca utama bermulanya masyarakat Cina membenci Barisan Nasional (BN) selepas beliau mengatakan Permit Import yang diberikan kepada syarikat bumiputera diambil daripada syarikat Cina.
Demikian kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menyifatkan kenyataan Rafidah ketika Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini sebagai berbaur perkauman kerana ia tidak wajar diucapkan tanpa memikirkan perasaan masyarakat Cina ketika itu.
“Saya masih ingat 10 tahun lalu di Perhimpunan Agung UMNO di mana Rafidah diserang oleh perwakilan. Ketika Rafidah datang menjawab, beliau membenarkan apa yang diucap, dia mengatakan perwakilan tidak sepatutnya marah.
“Kata Rafidah, ini kerana dia mengambil semua Permit Import daripada syarikat Cina dan beri kepada syarikat bumiputera. Macam mana Rafidah kata saya berfikiran cetek sedangkan beliau sendiri boleh melakukan perkara tersebut.
“Inilah permulaan mengapa orang Cina di Malaysia mula membenci BN. Kita pula terpaksa menanggung bebannya sehingga orang Cina sekarang tidk senang dengan BN dalam perkara ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman antara DS Property Development Sdn Bhd dan Wyndham Hotel Asia Pacific for Dolce Hotel di WOW KL hari ini.
Mohamed Nazri mengulas kenyataan Rafidah yang mendakwa beliau pendek akal kerana mendakwa kritikannya terhadap kerajaan disebabkan oleh dendam peribadi kepada Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Ia susulan kritikan Rafidah terhadap Shahrizat kerana suaminya didakwa pecah amanah hampir RM50 juta dalam kes Pusat Fidlot Nasional dan pinjaman bernilai RM248 juta yang ditanggung oleh kerajaan, tetapi mahkamah kemudian membebaskannya. – MalaysiaGazette.