KUALA LUMPUR – PKR Perlis mendakwa Timbalan Perdana Menteri cuba mempolitikkan titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin berhubung titah baginda supaya Zon Aliran Bebas Wang Kelian dibuka semula.
Tindakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu dianggap sebagai usaha terdesak Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Menurut Pengarah Komunikasi PKR Perlis, Khizairi Khizan, baginda begitu prihatin dengan keadaan ekonomi rakyat dan meminta kerajaan Persekutuan membuka semula kawasan itu.
“Kita rasa jelik sekali dengan sikap Timbalan Perdana Menteri ini kerana sanggup memperjudikan titah baginda untuk memancing undi dan seolah mengugut rakyat Perlis demi mendapatkan majoriti besar, sebelum permintaan Tuanku dilaksanakan.
“Kita juga kesal dengan sikap Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim serta pemimpin BN Perlis yang turut hadir dalam majlis tersebut kerana tidak prihatin dengan perkara itu,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahmad Zahid pada Ahad lalu yang dilaporkan berkata, kerajaan sedia menimbang cadangan membuka semla Zon Aliran Bebas di pintu sempadan Malaysia-Thailand dekat Wang Kelian yang dimansuhkan sejak 2015.
Bagaimanapun, katanya, rakyat harus sama-sama memastikan Barisan Nasional (BN) menang besar di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis.
Menurut Khizairi, syarat yang dikenakan oleh Timbalan Perdana Menteri itu seolah mempermainkan titah Tuanku Sirajuddin yang benar-benar mengharapkan zon berkenaan dibuka semula untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat Perlis.
Sehubungan itu, katanya, PKR Perlis menyeru kepada seluruh rakyat negeri itu agar menolak BN pada PRU akan datang kerana tidak menghormati institusi Raja Melayu. – MalaysiaGazette