Ander Herrera meluahkan hasrat mahu beraksi lebih lama dengan Man United.

ENGLAND – Bintang tengah the Red Devils, Ander Herrera yang dikaitkan dengan spekulasi bakal meninggalkan Old Trafford musim ini mahu kekal lama bersama kelab tersebut.

Dalam laporan terbaharu the Sun di Manchester, pemain itu meluahkan hasratnya untuk kekal selama yang mungkin di Theatre of Dreams.

Bintang Sepanyol berusia 28 itu menikmati peluang beraksi yang terhad dibawah kendalian Jose Mourinho musim ini ekoran kecederaan yang melanda dirinya.

Malah aksi kental Nemanja Matic dan Scott McTominay juga menggugat aksi lebih kerap pengatur strategi tengah yang licik itu.

Setakat ini, Herrera hanya melakukan lapan penampilan bersama Manchester United musim ini.

Mourinho kini mahu merombak keseluruhan jabatan dalam skuad utama dan bekas pemain Athletic Bilbao antara sembilan pemain yang dijangka ‘dicampak’ musim ini.

Namun laporan baharu di Manchester mendakwa pemain itu tidak berhasrat untuk meninggalkan kelab terbaik dunia itu.

“Saya tidak nampak sebarang sebab utama kenapa perlu meninggalkan kelab ini yang menjadikan saya seorang pemain yang matang dan sempurna.

“Saya sudah membuat 150 penampilan bersama kelab ini dan mahu terus beraksi seberapa banyak yang mungkin.

“Apabila bersara dari bola sepak, saya boleh mendabik dada mengatakan saya telah berpeluang beraksi dengan kelab terbaik di England.

“Jadi, saya mahu menghayati setiap saat yang dilalui bersama kelab ini bukan sekadar perlawanan tetapi juga sesi latihan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast