Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said tidak menolak kemungkinan kerajaan akan dipersalahkan berhubung isu pembubaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Azalina berkata, sikap menyalahkan kerajaan itu bukan perkara baharu jika sesautu keputusan itu merugikan pembangkang sambil melabel agensi itu sebagai ejen kerajaan.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) buat persempadan semula pun dia marah SPR. Bila menang nanti, dia tak kata SPR jadi ejen kerajaan.

“Bila menang kes kata mahkamah bagus, bila kalah kes, mahkamah ejen kerajaan,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim yang mengesahkan  pembubaran PPBM di bawah Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan 1966 akibat tidak memenuhi syarat.

Bagaimanapun, kata Surayati, PPBM masih boleh membuat rayuan kepada RoS dalam tempoh 30 hari.

Keputusan itu dibuat susulan kegagalan  PPBM menyerahkan sepenuhnya maklumat dan dokumen sebagaimana notis yang dikeluarkan mengikut Seksyen 14 (2) akta sama pada 28 Februari lalu.

Azalina juga memberi amaran kepada pembangkang agar tidak mengeluarkan kenyataan seolah-olah PPBM teraniaya.

“Kita tak mahu mereka membuat tuduhan tidak berasas, jangan banyak keluarkan berita palsu sebab kita ada undang-undang berita tidak benar.

“Saya rasa mereka (PPBM) kena hormat undang-undang selepas RoS sudah buat keputusan, dia kena ikut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast