NETHERLAND – Cadangan Moscow untuk menyertai siasatan kes serangan agen saraf terhadap bekas perisik Rusia dan anak perempuannya di United Kingdom telah ditolak oleh pemerhati senjata kimia antarabangsa di The Hague.
Rusia menuduh Britain telah menyekat akses kepada penyiasatan yang dijalankan oleh Pertubuhan bagi Larangan Senjata Kimia (OPCW).
Britain sebelum ini berkata, cadangan Rusia untuk menyertai siasatan itu adalah tidak boleh diterima.
Rusia hanya mendapat enam undi sahaja daripada anggota OPCW manakala 17 lagi berkecuali.
China, Azerbaijan, Sudan, Algeria dan Iran adalah antara negara yang menyokong Rusia
Rusia turut mengusul supaya mesyuarat diadakan bagi mencabar United Kingdom, yang bertindak menuduh Moscow terlibat dalam serangan agen saraf pada 4 Mac lalu.
Bagaimanapun, Rusia dengan sekeras-kerasnya menafikan dakwaan tersebut.
Bekas perisik, Sergei Skripal dan anaknya, Yulia ditemui terbaring di sebuah bangku di Salisbury selepas dikatakan diserang dengan agen saraf.
- MalaysiaGazette