Nik Mohamad Abduh
Nik Mohamad Abduh

KUALA LUMPUR – “Malulah saya baru dua tiga kali difitnah, tiba-tiba nak saman, tapi ayahanda (Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat) saya beratus ribu kali difitnah, tak pernah ke mahkamah,” kata Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, tiada keperluan untuknya sama ada membuat laporan polis, mengemukakan saman fitnah malah beliau menyerahkan perkara itu kepada rakyat untuk menilai sendiri.

“Saya tak perlu, saya tak perlu buat laporan, saya tak perlu saman, saya tak perlu bersumpah dengan nama Allah, kerana saya yakin saya telah bercakap benar, dan serah kepada rakyat untuk menilai sendiri.

“Ayahanda saya beratus kali difitnah, kes dia pun dia tak bawa ke mahkamah, dia tunggu urusan ini di mahkamah Allah,” katanya kepada pemberita di bilik media, bangunan Parlimen hari ini.

Nik Abduh mengulas penularan rakaman audio anak kepada bekas Menteri Besar Kelantan itu telah membuat pengakuan terbuka dalam satu program tertutup mendakwa beliau dan pimpinan Pas lain menerima wang daripada pemimpin UMNO.

Sebelum ini, Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Husam Musa mendakwa rakaman audio percakapan Nik Abduh berhubung kerjasama politik dan dana diterima pemimpin Pas daripada UMNO kini sedang dianalisa di makmal sebuah universiti dan bakal dijadikan bukti di mahkamah London pada April depan.

Pendedahan perkembangan audio suara yang dipercayai milik Ahli Parlimen Pasir Mas itu, dimaklumkan Husam, ketika menyampaikan ceramah di Dun Tanjong Mas, Kelantan, pada 28 Mac lalu.

Nik Abduh juga berkata, dakwaan pemimpin PAN itu tidak akan menjejaskan reputasinya untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Mas dalam PRU-14.

“Tidak (menjejaskan reputasi) saya yakin tidak kerana saya tengok yang sibuk dengan rakaman itu ialah pemimpin PAN dalam kalangan mereka saja.

“Apabila saya nyatakan dengan jelas bahawa itu adalah rakaman membohong dan palsu, saya tengok rakyat tidak memberikan perhatian dan yakin bahawa itu adalah permainan politik dekat pilihan raya,” jelasnya.

Katanya, isu rakaman audio itu sengaja dimainkan oleh Pakatan Harapan untuk menghentam Pas khususnya sepanjang musim pilihan raya kali ini.

“PH nak mengelakkan rakyat yang tolak UMNO BN ini daripada mengundi Pas, jadi pelbagai isu diciptakan. Mereka nak panjangkan isu bahawa Pas terima duit UMNO.

“Mereka mencipta rakaman itu mendakwa saya mengakui dan saya telah nafikan. Saya yakin bahawa rakyat telah muak dengan isu-isu sebegini.

“Kita telah buktikan bahawa kita bergerak sendiri ke arah matlamat kita untuk membawa Islam ke peringkat tertinggi dalam negara kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast